Pada ketika ini, boleh dikatakan sudah banyak kenderaan elektrik (EV) yang boleh dilihat di atas jalan raya. EV juga boleh dikatakan sinonim dengan penggunaan bandar berbanding di luar lembah klang. Berikutan itu, kami ingin berkongsi pengalaman kami menggunakan EV BYD Dolphin di luar bandar.
BYD Dolphin Extended Range mampu menghasilkan kuasa 201 hp dan tork 310 Nm. Dimuatkan dengan bateri 60.48kWh yang mampu bergerak sejauh 427 km (WLTP). Menyokong pengecasan pantas DC pada 80kW dan pengecasan AC pada 7kW.
Mengikut kepada perkiraan kami, terdapat tiga perkara yang perlu diambil sekiranya anda merancang untuk menggunakan EV di luar lembah klang.
Pengecasan
Perkara pertama yang perlu diambil kira adalah mengenai tempat atau kemudahan untuk mengecas. Sepanjang penggunaan kami, boleh dikatakan 100% kami hanya mengecas EV di rumah melalui pengecasan yang disertakan semasa pembelian. Perkara tersebut agak menjimatkan berbanding mengecas di charging station. Namun begitu, terdapat beberapa kekurangan yang perlu anda tahu sekiranya mengecas di rumah.
Antara kekurangan adalah waktu pengecasan lebih lama kerana pengecasan jenis AC di rumah hanya menyokong sekitar 1.4kW hingga 1.6kW. Untuk satu isian penuh ia mungkin mengambil masa sekitar 8 jam dan ke atas bergantung kepada kadar bateri ketika dicas.
Selain itu, anda memerlukan plug luar bagi memudahkan untuk mengecas. Sekiranya anda tinggal di kawasan rumah landed, mungkin tidak menjadi masalah. Namun, sekiranya anda tinggal kawasan apartment dan tiada sokongan plug pada kawasan parkir anda mungkin memerlukan alternatif lain untuk mengecas.
Terdapat alternatif lain yang membolehkan anda mengecas dengan lebih pantas di rumah dengan memasang wallbox charger. Pengecasan ini membolehkan EV dicas dengan lebih pantas sekitar 7kW hingga 22kW. Namun begitu, kos untuk pemasangan wallbox charger di rumah tidak begitu murah. Melalui tinjauan kami, harga pemasangan wallbox charger bermula sekitar RM1600 dan ke atas bergantung kepada penyedia perkhidmatan.
Perkhidmatan Lepas Jualan
Perkara kedua adalah mengenai perkhidmatan lepas jualan, tidak dinafikan yang EV tidak memerlukan sebarang servis. Namun, harus diingatkan pusat servis atau jualan kebanyakkan berada di bandar. Jadi, sekiranya EV anda menghadapi masalah dan memerlukan sebarang perkhidmatan ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk mendapatkan perkhidmatan berbanding jika di bandar.
Sebagai contoh, EV anda menghadapi masalah kritikal dan perlu dihantar ke pusat servis ia memerlukan proses towing yang sedikit berbeza dari kenderaan biasa dan perlukan dilakukan dengan berhati-hati. Ini kerana EV tidak menggunakan kotak gear seperti kenderaan biasa. Jadi ia perlu ditunda dengan semua tayar berada di atas trak penunda.
Namun begitu, perkara sebegini sangat jarang berlaku. Sepanjang pengguna kami tiada sebarang masalah yang dihadapi. Sebagai persediaan anda mungkin boleh dapatkan lebih banyak maklumat mengenai EV yang dibeli melalui jurujual.
Bercakap mengenai perkhidmatan lepas jualan, setiap pembelian BYD didatangkan dengan jaminan warranti kilang selama 6 tahun atau 150,000 km. Manakala untuk bateri, ia mempunyai jaminan warranti selama 8 tahun atau 160,000 km.
Jarak gerak
Perkara terakhir adalah jarak gerak atau lebih tepat mungkin range anxiety. Tidak dinafikan ia mungkin perkara paling merisaukan oleh pengguna EV. Tidak seperti kenderaan biasa yang boleh ke mana sahaja tanpa merancang namun EV adalah sebaliknya.
Pengalaman menggunakan BYD Dolphin sangat baik kerana jarak tempat kerja hanya sekitar 40 km untuk perjalanan pergi dan pulang dengan penggunaan bateri sekitar 20%. Jarak perjalanan paling jauh pula adalah sekitar 50 km dengan penggunaan bateri 25%. Perjalanan dekat sememangnya tiada masalah untuk EV.
Namun, sekiranya tempat kerja jauh atau merancang untuk perjalanan yang panjang ia mungkin akan menimbulkan masalah range anxiety. Cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan merancang perjalanan anda dengan baik dan kenalpasti lokasi charging station yang terdapat sepanjang perjalanan.
Pada pendapat kami, range anxiety mungkin lebih terkesan untuk pengguna baru EV. Kerana selepas beberapa ketika masalah tersebut akan dapat diatasi dengan lebih baik selepas memahami cara penggunaan dan pemanduan EV.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, penggunaan EV di luar lembah klang tidaklah begitu merumitkan kerana masih terdapat cara untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Pada peringkat awal boleh dikatakan agak sedikit mencabar namun selepas itu semuanya berjalan dengan sangat baik.
Pada ketika ini, infrastruktur pengecasan semakin berkembang dan lebih banyak lokasi pengecasan tersedia. Pada masa akan datang, kami rasakan yang penggunaan EV di luar lembah klang akan menjadi lebih mudah seiring dengan perkembangan teknologi.