Close

ASUS Zenbook 14 OLED – Laptop nipis pertama dengan Intel Core Ultra!

ASUS Malaysia pada kali ini tampil dengan model baru iaitu Zenbook 14 OLED. Sebuah komputer riba bersaiz 14-inci dengan saiz yang sangat kompak dan ringan. Siri ASUS Zenbook sememangnya sering menawarkan sebuah komputer riba yang ringan, kompak, skrin yang cantik dan mempunyai pelbagai fungsi yang unik. Zenbook 14 OLED merupakan sebuah komputer riba premium dengan harga RM6,299. Namun, adakah komputer riba ini berbaloi untuk dibeli?

Antara perkara yang membuatkan kami teruja untuk mencuba Zenbook 14 OLED terbaru ini adalah menggunakan cip pemprosesan yang terbaru daripada Intel iaitu Intel Core Ultra 5 125H dengan Intel Arc Graphics.

Rekaan

Buat yang tidak mengetahui, siri Zenbook daripada ASUS ini merupakan pesaing terdekat kepada siri Apple Macbook Air yang memfokuskan rekaan komputer riba yang nipis, ringan tetapi berkuasa.

Dari segi rekaan komputer riba , ASUS tampil dengan rekaan yang minimal dan premium dengan logo monogram ASUS. Unit yang kami terima adalah berwarna Ponder Blue, bagi saya warna ni nampak eksklusif di tambah lagi dengan binaan aluminium yang memberikan rasa mewah apabila dipegang.

Seperti di awalan, komputer riba ini sememangnya sangat ringan dan nipis dengan berat hanya 1.2 kg dan tebal hanya 14.9 mm sekaligus menjadikan komputer riba ini mudah untuk dibawa ke mana sahaja atau untuk melakukan tugasan kerja di luar.

Skrin

Beralih ke bahagian skrin, ia merupakan perkara yang paling kami suka pada Zenbook 14 OLED. Dengan resolusi 3K iaitu 2880 x 1800, ASUS menggunakan ASUS Lumina OLED dengan hasil kualiti yang sangat mengujakan. Skrin ini mampu memberikan hasil yang cantik, sharp, dan ketepatan warna yang sangat baik. Kualiti skrin komputer riba ini sememangnya sangat sesuai untuk menonton pelbagai kandungan.

Seperti yang kita tahu, skrin OLED agak sensitif dan cenderung untuk burn-in. Berikutan itu, ASUS hadir dengan fungsi ASUS OLED Care bagi mengelakkan daripada masalah burn-in. Skrin ni juga menyokong paparan sehingga 120Hz. Namun begitu, rekaan bingkai bahagian atas komputer riba ini sedikit tebal untuk memuatkan kamera webcam dan kamera infrared yang menyokong fungsi Windows Hello.

Ports sambungan

Untuk komputer riba, ports sambungan adalah perkara yang sangat penting kerana ia memberikan pengguna lebih banyak pilihan dan sokongan. Di bahagian kanan komputer riba ini terdapat 1x HDMI, 1x 3.5mm Audio Jack dan 2x USB-C dengan sokongan Thunderbolt 4. Manakala di sebelah kira terdapat 1x port sambungan USB-A 3.2 Gen 1.

Bagi kami, port sambungan USB-A penting untuk dikekalkan kerana masih terdapat banyak aksesori komputer yang menggunakan port sambungan tersebut. Lebih menarik, ASUS turut menyertakan kabel adapter USB-A ke RJ45 untuk sambungan internet melalui kabel LAN. Ia merupakan salah satu cara untuk ASUS menjadikan Zenbook 14 OLED ini kekal nipis.

Keyboard dan Touchpad

Antara perkara yang kami suka mengenai laptop adalah ia boleh buka dengan satu tangan sahaja. Hinge terasa sangat solid dan boleh buka sehingga 180 darjah. Untuk bahagian keyboard pula, sepanjang pengunaan kami tiada sebarang masalah yang dihadapi. Sangat selesa untuk digunakan ketika menulis biarpun untuk jangka masa yang panjang. Terdapat juga fungsi backlit yang memudahkan anda untuk menaip dalam keadaan gelap.

Touchpad pada Zenbook 14 OLED ini boleh dikatakan antara yang terbaik pernah kami gunakan. Ditambah dengan sokongan gesture pada Windows 11 menjadikan ia lebih mudah untuk digunakan. Apa yang menarik, touchpad Zenbook 14 OLED boleh diubah menjadi NumberPad dengan kecerahan turut boleh dilaras.

Prestasi

Seperti di awalan, kami ada menyatakan yang Zenbook 14 OLED ini menggunakan processor terbaru daripada Intel iaitu Intel Core Ultra 5. Merupakan processor dari generasi ‘Meteor Lake’ ataupun generasi ke 14 daripada Intel. Intel Core Ultra 5 dilengkapi dengan 14 teras iaitu 4 Performance Core, 8 Efficient Core, dan 2 Low Power Efficient Core.

Zenbook 14 OLED merupakan antara laptop yang terawal yang dikuasakan dengan cip pemprosesan Intel Core Ultra. Cip pemprosesan ini adalah berbeza daripada cip siri Intel i iaitu i5, i7.

Intel Core Ultra lebih memfokuskan kepada prestasi, AI dan grafik dalam masa yang sama menawarkan jangka hayat bateri yang lebih panjang. Jadi, kebanyakan peranti yang menggunakan cip pemprosesan ini adalah konsol mudah alih atau laptop dengan rekaan yang nipis.

Selain itu, buat pertama kali Intel Core Ultra dilengkapi dengan Intel AI Boost ataupun NPU (Neural Processing Unit). Merupakan cip khas yang direka untuk membantu dan meningkatkan keupayaan kecerdasan buatan (AI). Secara keseluruhan, kemampuan prestasi Zenbook 14 OLED ini boleh dikatakan sangat baik. Semua perisian dapat dijalankan dengan lancar dan tiada sebarang masalah yang dihadapi.

Untuk prestasi grafik, Zenbook 14 OLED menggunakan Intel Arc Graphics yang sesuai untuk tugas grafik yang ringkas dan juga untuk permainan. Sejujurnya, laptop ini tidak sesuai untuk bermain permainan yang berat memandangkan ia lebih memfokuskan kepada kerja-kerja profesional.

Bateri

Ketahanan bateri boleh dikatakan salah satu kelebihan pada Zenbook 14 OLED. Bateri 75 Wh dimuatkan pada peranti yang menjanjikan ketahanan bateri yang lebih panjang. Untuk penggunaan biasa dan kasual seperti menulis, melayari media sosial web, menonton Netflix dan YouTube peranti ini mampu bertahan untuk sehari penggunaan. Jadi, untuk kegunaan luar ketahanan bateri bukan masalah utama peranti ini. Tidak ketinggalan, ia turut menyokong pengecasan pantas pada 65W.

Kesimpulan

Kesimpulannya, sekiranya anda yang mencari komputer riba yang kompak, premium dan ketahanan bateri yang baik Zenbook 14 OLED adalah jawapannya.

Apa yang kami boleh katakan, Zenbook 14 OLED adalah alternatif terbaik bagi anda yang mencari komputer riba seperti MacBook Air namun dengan sistem operasi Windows. Selain itu, komputer riba ini turut hadir dengan pakej yang lengkap untuk kegunaan yang pelbagai.

ARTIKEL BERKAITAN