HUAWEI Malaysia secara rasmi memperkenalkan komputer riba andalan mereka iaitu MateBook X Pro (2024) ke pasaran tempatan. Hadir dengan rekaan yang lebih baik, lebih ringan dan dilengkapi dengan spesifikasi yang terkini.
Untuk spesifikasi, MateBook X Pro (2024) hadir dengan skrin OLED bersaiz 14.2-inci dengan paparan 120Hz. Ia merupakan komputer riba pertama yang dilengkapi dengan HUAWEI X-True Display. Dikuasakan dengan cip Intel Core Ultra 9 atau Intel Core Ultra 7 yang dipadankan dengan RAM sehingga 32GB dan storan dalaman sehingga 2TB SSD. Menarik mengenai MateBook X Pro adalah ia hanya seberat 980 gram sahaja, menjadikan ia sebagai komputer riba paling ringan di pasaran pada ketika ini.
Selain lebih ringan, komputer riba ini turut dimuatkan dengan teknologi kecerdasaan buatan (AI) melalui fungsi WPS AI. Melaluinya, ia membolehkan pengguna menulis artikel, membalas e-mel dan lain-lain dengan lebih mudah dengan bantuan AI.
Dari segi sambungan, ia menyokong 1x USB-C dan 2x Thunderbolt 4. Tidak ketinggalan ia turut menyokong pengimbas cap jari pada butang kuasa. Dimuatkan dengan bateri 70Wh yang menyokong pengecasan pantas 90W.
Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah seperti sokong WiFi 6E, Bluetooth 5.3, 6 pembesar suara, 4 mikrofon dan menjalankan Windows 11 Home. MateBook X Pro ini turut menyokong beberapa fungsi menarik seperti Super Device, HUAWEI PC Manager dan HUAWEI Superhub.
Di Malaysia, HUAWEI Matebook X Pro (2024) dijual pada harga bermula RM8999 untuk Intel Core Ultra 7 dan RM10,999 untuk Intel Core Ultra 9. Bagi yang berminat, Huawei MateBook X Pro (2024) boleh mula dibeli hari ini di semua pengedar rasmi HUAWEI Malaysia.