Masalah penyebaran berita palsu dilihat semakin meningkat dan merisaukan. Berikutan itu, SKMM dengan kerjasama Meta bakal membangunkan Chatbot untuk memerangi penyebaran berita palsu di WhatsApp.
WhatsApp Chatbot akan melakukan semakan kesahihan maklumat atau berita yang disebarkan melalui aplikasi tersebut. Selain itu, pengguna boleh berinteraksi untuk mengetahui kesahihan berita yang disebarkan dengan keputusan akan diberikan dalam masa 1 hingga 2 minit.
Untuk maklum balas dan pengesahan berita, Chatbot akan merujuk kepada beberapa sumber dengan standard yang tinggi seperti JomCheck serta MyCheck yang bernaung di bawah Bernama. Menariknya, Chatbot ini akan menyokong pelbagai bahasa seperti Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Tamil.
Walaubagaimanapun, pada ketika ini WhatsApp Chatbox hanya menyokong kandungan berasaskan teks sahaja. Untuk sokongan kandungan yang berasaskan dokumen, video atau imej ia dijangka akan tersedia pada masa akan datang.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telahpun menguji fungsi tersebut dan berpuas hati dengan prestasinya. Sekiranya semua berjalan seperti yang dirancang, fungsi ini akan diperkenalkan pada pengguna penghujung bulan ini.