Instagram kini memperkenalkan ciri baru dipanggil sebagai Instants, merupakan ciri perkongsian gambar sementara yang memfokuskan kepada gambar spontan dan tanpa suntingan untuk dihantar kepada rakan tertentu.

Menurut Meta, Instants direka sebagai cara lebih pantas untuk berkongsi momen harian dengan cara yang lebih peribadi. Gambar yang dihantar akan hilang selepas dilihat oleh penerima, namun gambar akan disimpan dalam arkib pengguna dalam tempoh setahun dan boleh dikongsi semula ke Stories sebagai recap.

Untuk menjadikan ia lebih menarik, pengguna boleh menambah kapsyen sebelum menghantarnya. Walau bagaimanapun, tiada piihan suntingan yang dibenarkan selepas perkongsian dibuat. Terdapat juga butang Undo bagi membolehkan perkongsian ditarik balik sekiranya pengguna tersalah kongsi kandungan.
Selain itu, fungsi ini turut membolehkan pengguna menghantar reaksi dan balasan kepada pengirim dengan semua balasan akan dihantar terus ke peti masuk Instagram. Ciri Instants boleh diakses secara terus melalui aplikasi Instagram menerusi ikon timbunan foto kecil di sudut kanan bawah pada bahagian peti masuk (DM) Instagram.
Instagram turut menawarkan aplikasi khas untuk Instants bagi membolehkan akses kamera yang lebih pantas. Aplikasi tersebut telahpun tersedia untuk iOS dan Android di beberapa negara terpilih.