Close

ASUS Vivobook S 15 kini rasmi di Malaysia – Guna cip Snapdragon X Elite dengan harga RM6299

ASUS Malaysia kini sedia untuk menawarkan komputer riba baru Vivobook S 15 untuk pasaran tempatan. Tampil dengan rekaan yang ringan dan prestasi yang lebih berkuasa yang sesuai untuk kegunaan yang pelbagai.

Vivobook S 15 menggunakan skrin Lumina OLED bersaiz 15.6-inci dengan resolusi 3K. Turut menyokong paparan 120Hz, Vesa Display HDR True Black 600 dan pengiktirafan TÜV Rheinland untuk penjagaan mata. Komputer riba ini hanya setebal 1.47 mm dan berat hanya 1.42 kg sahaja.

Dikuasakan dengan cip pemproses Snapdragon X Elite yang dipadankan dengan GPU Inter Arc. Dipadankan dengan 32GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 1TB PCIe 4.0. Dimuatkan dengan bateri 70Wh yang mampu bertahan sehingga 18 jam dan turut menyokong pengecasan pantas melalui USB.

Komputer riba ini turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi menarik yang dijana dengan kecerdasan buatan (AI). Antaranya seperti Windows Studio Effects, kamera ASUS AiSense IR, Adaptive Lock, Storycube, Create with Cocreator, Recall, Live Caption dan juga Copilot.

Dari segi port sambungan, ia dilengkapi 2x USB 3.2 Gen 1 Type A, 1x HDMI 2.1, 1x MicroSD, 2x USB 4 Type C dan 1x bicu audio. Selain itu, ia turut menyokong sambungan WiFi 7, Bluetooth 5.4 dan pembesar suara Harman Kardon.

Di Malaysia, Vivobook S 15 dijual pada harga RM6299 dan boleh dipra-tempahan bermula hari ini. Setiap pra-tempahan akan menerima hadiah percuma bernilai RM698 iaitu pengecas GaN 100W dan jaminan tambahan 1 tahun. Bagi yang berminat, pra-tempahan boleh dibuat melalui Shopee atau ASUS eStore.

ARTIKEL BERKAITAN