Tesla nampaknya bakal memperkenalkan versi facelift untuk Model Y tidak lama lagi. Model Y facelift ini akan dikenali dengan nama ‘Juniper’.
Melalui perkongsian JackIJack di Reddit, memperlihatkan Tesla Model Y dengan bahagian hadapan dan belakang ditutup. Bahagian hadapan Model Y Juniper ini dikatakan sama seperti rekaan yang digunakan Model 3 Highland. Manakala untuk bahagian belakang, tidak dapat dipastikan perubahannya. Namun, kita mungkin boleh menjangkakan ia hadir dengan rekaan bumper dan diffuser baru yang lebih minimalis.
Menurut laporan lain, Model Y Juniper ini dijangka akan membuat kemunculan pertama pada Julai ini. Di Malaysia, Model Y ditawarkan dalam 3 pilihan varian dengan harga bermula dari RM191,000.
Sebagai rekod, Model Y adalah kereta paling laris di dunia untuk tahun 2023. Sekaligus, menjadikan ia sebagai EV pertama yang menerajui jualan untuk pasaran global.