Pengeluar kenderaan Jepun iaitu Honda bakal menutup salah satu kilang mereka di Thailand. Penutupan kilang di Ayutthaya itu dijangka akan dibuat menjelang tahun 2025.
Berikutan dari itu, pengeluaran dan pemasangan kenderaan Honda hanya akan diteruskan di satu lagi kilang mereka di Prachinburi. Penutup kilang tersebut dibuat kerana permintaan yang semakin rendah disebabkan oleh persaingan sengit antara permintaan EV dan jenama dari China.
Kedua-dua kilang tersebut mencatatkan penurunan jumlah pengeluaran di bawah 150,000 unit setahun dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini. Jumlah jualan turut mencatatkan penurunan yang ketara bawah 100,000 unit dalam tempoh sama. Sebagai perbandingan, pada 2019 jumlah keseluruhan produksi adalah 228,000 unit.
Selain itu, Honda dijangka akan membuat pelaburan tambahan pada kilang mereka di Prachinburi untuk beralih menghasilkan model hibrid berbanding model Internal Combustion Engines (ICE).
Baru-baru ini, pengeluar EV China iaitu BYD telah membuka kilang EV di Thailand. Sekaligus, menjadikan ia sebagai kilang pertama mereka di Asia Tenggara.