Selain Galaxy Watch Ultra, Samsung turut menawarkan Galaxy Watch7 untuk pasaran tempatan. Melaluinya, ia hadir dengan pelbagai peningkatan merangkumi spesifikasi yang lebih berkuasa, fungsi yang lebih menarik dan sensor penjejakkan yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
Rekaan dan binaan
Dari segi rekaan, tiada sebarang perubahan yang dilakukan oleh Samsung pada Galaxy Watch7. Bermaksud, ia kekal dengan rekaan yang sama dengan skrin berbentuk bulat. Secara kasar, agak sukar untuk membezakan Galaxy Watch6 dan Watch7 dengan hanya sekali pandang. Sejujurnya, kami lebih menyukai rekaan jam berbentuk bulat yang menjadikan ia lebih elegen dan sporty berbanding rekaan segi empat. Namun begitu, anda mungkin mempunyai pendapat yang berbeza.
Seperti model sebelumnya, Galaxy Watch7 turut hadir dengan 2 pilihan saiz dan skrin iaitu 40mm untuk skrin 1.3-inci dan 44mm untuk skrin 1.5-inci. Kedua-duanya dilengkapi dengan skrin Super AMOLED yang menjanjikan pengalaman skrin yang sangat baik. Tidak ketinggalan, skrin peranti turut dilindungi dengan sapphire glass yang tahan lasak.
Dari segi binaan, ia hadir dengan binaan aluminium yang menyokong penarafan IP68, 5ATM dan juga pensijilan MIL-STD-810H. Jadi, ketahanan bukan masalah pada Galaxy Watch 7. Dengan pelbagai sokongan penarafan, peranti ini sesuai untuk digunakan dalam pelbagai jenis aktiviti dan juga keadaan.
Untuk kawalan, terdapat dua butang pada Galaxy Watch7 yang diletakkan di sebelah kanan iaitu butang kuasa dan juga butang back. Kedua-dua butang ini mempunyai kemasan berwarna iaitu jingga untuk butang kuasa dan putih untuk butang back. Sekaligus, menjadikan ia lebih menonjol. Selain itu, butang ini turut boleh diubah suai untuk dijadikan sebagai butang pintasan.
Secara keseluruhan, rekaan dan binaan pada Galaxy Watch7 boleh dikatakan sangat baik. Masih mempunyai elemen mewah dan premium dalam masa yang sama masih mengekalkan rekaan ikonik mereka. Namun, jika anda mengharapkan rekaan yang berbeza mungkin ia membuat anda sedikit kecewa.
Prestasi
Bercakap mengenai prestasi, Galaxy Watch7 hadir dengan prestasi yang sangat baik sesuai dengan penawarannya. Dikuasakan dengan cip pemproses baharu W1000 yang lebih baik dan lebih berkuasa berbanding generasi sebelum. Cip baru ini dipadankan dengan konfigurasi RAM sebesar 2GB dan storan dalaman yang lebih besar iaitu 32GB berbanding 16GB pada Galaxy Watch6.
Samsung mendakwa, cip Exynos W1000 ini menawarkan peningkatan sebanyak 3.4x untuk teras tunggal dan 3.7x untuk teras pelbagai berbanding cip Exynos W930. Selain itu, dengan konfigurasi memori yang lebih besar dan cip baru yang lebih berkuasa ia menjanjikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan lancar.
Sepanjang penggunaan kami, tiada sebarang masalah yang dihadapi semua aplikasi dapat dijalankan dengan sangat lancar dan baik. Pengalaman buka dan tutup aplikasi juga pantas tanpa sebarang isu lengah masa.
Untuk prestasi penjejakan kesihatan, Galaxy Watch7 kini dilengkapi dengan sensor BioActive baru. Sensor baru ini telah direka semula untuk memberi bacaan yang lebih tepat. Menurut Samsung, sensor ini menawarkan tahap ketepatan atau kejituan 30% lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
Samsung turut membawakan fungsi baru iaitu Advanced Glycation End Produxts (AGES). Yang mana, ia boleh digunakan sebagai penunjuk kesihatan yang lebih terperinci tentang metabolisme pengguna berdasarkan kepada gaya hidup dan diet pemakanan. Terdapat juga fungsi Energy Score yang dikuasakan oleh Galaxy AI, memberikan skor kesihatan berdasarkan kepada purata masa tidur, konsistensi, kadar denyutan jantung dan aktiviti harian.
Selain itu, peranti ini turut menyokong pelbagai mod sukan dan senaman dengan beberapa mod boleh dikesan secara automatik. Tidak ketinggalan, pengguna turut boleh menetapkan keupayaan untuk berlatih dalam kadar zon denyutan jantung yang tertentu. Kemampuan GPS turut dipertingkat dengan sokongan Dual-Frequency GPS untuk ketepatan penjejakan yang lebih baik.
Galaxy Watch7 boleh dikatakan sebagai jam tangan pintar yang mempunyai penjejakan kesihatan yang lengkap merangkumi ECG, heart rate & HR alert, tekanan darah, ramalan kitaran haid, pemantauan tidur dan fall detection. Jadi, ia sememangnya sesuai untuk digunakan untuk pelbagai jenis aktiviti dan kegunaan harian.
Sistem operasi
Antara perkara yang kami suka mengenai Galaxy Watch7 adalah sistem operasi. Mungkin boleh dikatakan sebagai sistem operasi terbaik yang ada pada jam tangan pintar ketika ini. Selain itu, ia merupakan jam tangan pintar terawal yang menjalankan Android Wear OS 5 melalui One UI 6.
Melaluinya, ia menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan lebih menarik dengan beberapa perubahan yang dibawakan seperti antaramuka yang lebih baik, sokongan widget, kecerdasan buatan (AI) dan banyak lagi. Selain itu, pengendalian sistem operasi ini boleh dikatakan mudah untuk digunakan, tidak memerlukan masa yang panjang untuk memahami cara penggunaannya.
Galaxy Watch7 turut hadir dengan sokongan perisian yang membolehkan pengguna memantau tahap kesihatan melalui aplikasi Samsung Health. Ia juga menyokong pembayaran tunai melalui NFC dengan menggunakan Samsung Pay atau Google Wallet. Namun begitu, untuk mendapatkan potensi penuh Galaxy Watch7 anda perlu menggunakannya bersama dengan peranti Samsung.
Bateri
Selain rekaan, Samsung turut mengekalkan kapasiti bateri yang sama pada Galaxy Watch7 iaitu 425mAh untuk 44mm dan 300mAh untuk 40mm. Samsung menyatakan yang peranti ini mampu bertahan sehingga 40 jam penggunaan dengan sekali cas.
Pada percubaan kami, ketahanan bateri Galaxy Watch7 mungkin boleh dikatakan agak baik. Tidak begitu memberangsangkan dan tidak pula mengecawakan. Secara purata, ia mampu bertahan sekitar 30 jam untuk penggunaan biasa dengan fungsi Always On Display (AOD) dihidupkan. Namun, dengan fungsi AOD dimatikan ia mampu memberikan ketahanan bateri yang lebih panjang iaitu sekitar 35 jam dan ke atas.
Selain itu, anda boleh mendapatkan jangka hayat bateri yang lebih panjang dengan menyahaktifkan beberapa fungsi seperti GPS dan sebagainya. Namun harus diingatkan, setiap pengguna mempunyai penggunaan yang berbeza jadi jangka hayat bateri mungkin berbeza.
Kesimpulan
Galaxy Watch7 mungkin boleh dikatakan dikatakan sebagai salah satu jam tangan pintar yang lengkap. Hadir dengan pakej yang menarik bersama dengan pelbagai peningkatan merangkumi teknologi kesihatan yang lebih baik, prestasi yang lebih berkuasa dan keupayaan sistem operasi yang efisien.