Kerajaan Indonesia sedang mempertimbangkan untuk mengharamkan aplikasi Telegram dan Bigo Live kerana didakwa digunakan untuk mempromosikan perjudian dan pornografi.
Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia, Budi Arie Setiadi menyatakan yang mereka sedia untuk mengharamkan Telegram dan Bigo Live secara serta merta. Namun begitu, sebuah pasukan diperlukan untuk membuat kajian lanjut dan mengumpul bukti sebelum bertindak mengharamkan aplikasi tersebut.
Selain itu, kementerian telahpun mengeluarkan amaran keras kepada kedua-dua platform namun maklum balas yang diberikan tidak memuaskan.
Sebelum ini, CEO Telegram iaitu Pavel Durov dilaporkan telah ditahan di Perancis disebabkan oleh beberapa kesalahan yang dilakukan dalam aplikasi tersebut seperti penipuan, buli siber, jenayah terancang, pengedaran dadah dan lain-lain.