HUAWEI Malaysia sedia untuk menawarkan komputer riba baru untuk pasaran tempatan melalui model MateBook D 14 (2024). Hadir dengan spesifikasi yang lebih berkuasa namun masih mengekalkan rekaan yang hampir sama seperti model sebelumnya.
MateBook D 14 (2024) hadir dengan rekaan yang nipis dengan 15.9mm dan ringan dengan 1.39 kg sahaja. Dilengkapi dengan skrin LCD bersaiz 14-inci dengan resolusi 1920 x 1200 yang turut menyokong kecerahan puncak 300 nits. Skrin peranti ini turut menyokong Eye comfort HUAWEI Fullview Display yang mengurangkan ketegangan mata semasa penggunaan yang panjang.
Dikuasakan dengan CPU Intel-Core i5-13420H yang dipadankan dengan GPU Intel UHD Graphics. Menggunakan konfigurasi memori 16GB RAM LPDRR4X dan storan dalaman 512GB NVME PCIe SSD. Dimuatkan dengan bateri 59 Wh yang menyokong pengecasan pantas 65W.
Selain itu, peranti ini turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi yang dikuasakan dengan AI seperti AI Sound dan AI Camera. Menjalankan sistem operasi Windows 11 dan memyokong pengimbas cap jari pada butang kuasa.
Bagi yang berminat, HUAWEI MateBook D 14 ini dijual pada harga RM3299 dan boleh didapatkan di semua pengedar rasmi HUAWEI Malaysia. Setiap pembelian akan menerima hadiah percuma bernilai RM846 iaitu Bluetooth Mouse, langganan microsoft 365, Huawei Backpack dan jaminan tambahan selama satu tahun.