Close

foodpanda bakal tamatkan operasi di Thailand – Berkuat kuasa 23 Mei 2025

foodpanda yang dimiliki oleh Delivery Hero mengumumkan yang mereka bakal menamatkan operasi mereka di Thailand, berkuat kuasa 23 Mei 2025.

Pengumuman tersebut dibuat melalui media sosial rasmi foodpanda Thailand. Penamatan ini menandakan berakhirnya usaha syarikat tersebut untuk terus bersaing dalam pasaran penghantaran makanan yang kompetitif di negara itu.

Namun begitu, Delivery Hero menyatakan yang mereka akan terus memberi tumpuan dan fokus kepada pasaran rantau Asia Pasifik (APAC), termasuk Malaysia.

Keputusan ini adalah sebahagian daripada strategi pengagihan semula sumber ke pasaran yang menunjukkan potensi pertumbuhan dan keuntungan yang lebih kukuh. Penutupan ini juga dilihat seiring dengan tindakan syarikat yang telah menamatkan operasi mereka di beberapa negara seperti Denmark, Ghana, Slovakia dan Slovenia.

foodpanda dilaporkan menghadapi kesukaran dalam pasaran penghantaran makanan di Thailand selepas hanya mencatat pegangan pasaran kurang daripada 15%. GrabFood dan Lineman Wongnai memegang sebahagian besar pasaran tersebut dengan 39.4% dan 44%.

ARTIKEL BERKAITAN