Tidak dinafikan, Samsung sememangnya pengeluar yang mempunyai teknologi skrin yang canggih dan menarik. Hadir dengan pelbagai peningkatan dan naiktaraf untuk memberikan pengalaman menonton dan bermain pada tahap yang berbeza.

Untuk itu, Samsung hadir dengan teknologi baru melalui 25Y Samsung OLED. Tampil dengan pelbagai peningkatan lebih baik berbanding model sebelumnya iaitu 24Y Samsung OLED.

Menggunakan teknologi panel QD-OLED generasi ke-4 yang menawarkan warna yang lebih baik dengan kontras yang lebih dalam. Turut menyokong paparan yang lebih tinggi iaitu 165Hz dengan kecerahan puncak 4000 nits. Kecerahan puncak ini adalah 30% lebih baik berbanding generasi sebelumnya 1650 nits.

Keupayaan cip turut dipertingkatkan dengan menggunakan NQ4 AI Gen 3 untuk menjadikan pemprosesan imej lebih baik dan ciri AI yang lebih maju. Teknologi Glare Free 2.0 turut dimuatkan untuk mengurangkan kesan pantulan cahaya dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan warna. Dari segi sistem operasi, ia menjalankan Tizen OS yang lebih lancar dan menyokong pelbagai fungsi AI baru. Lebih menarik, Samsung menawarkan kemas kini sehingga 7 tahun.
Selain itu, Samsung turut menawarkan ciri menarik lain seperti AI Gamma yang membantu untuk meningkatkan perincian dalam keadaan terang. Ia juga menyokong ciri VRR, ALLM dan FreeSync Premium Pro.

Untuk monitor permainan Samsung hadir dengan 2 model iaitu Odyssey OLED G6 dan Odyssey 3D. Kedua-dua monitor ini menawarkan kelebihan mereka yang tersendiri.

Odyssey OLED G6 merupakan monitor permainan pertama dari Samsung yang menyokong paparan sehingga 500Hz. Turut menggunakan teknologi QD-OLED dengan kecerahan puncak 1000 nits. Monitor ini turut dilengkapi dengan NVIDIA G-SYNC dan AMD FreeSync™ Premium Pro serta VESA DisplayHDR True Black 500 bagi memastikan pengalaman permainan yang lebih baik dan grafik yang stabil.

Ciri menarik lain yang ditawarkan pada monitor adalah seperti OLED Safeguard+ yang melindungi dari masalah burn-in, Glare Free untuk mengurangkan masalah silau dan juga pantone validated untuk memastikan paparan visual tepat dan jelas.

Berbeza dengan Odyssey OLED G6, Odyssey 3D menawarkan pengalaman 3D tanpa memerlukan peranti tambahan atau cermin mata 3D. Monitor ini menggunakan teknologi AI 3D video conversion untuk menukar gambar 2D kepada 3D secara automatik.

Bukan itu sahaja, ia turut mempunyai ciri eye tracking yang memastikan kesan 3D disesuaikan dengan posisi kepala pengguna sekaligus memberikan pengalaman yang lebih semula jadi dan selesa. Terdapat juga beberapa ciri lain seperti reality hub, audio spatial dan juga edge lightning.