Samsung Galaxy Tab S10 FE+ merupakan model terbaru dalam siri ‘Fan Edition (FE)’. Model ini sinonim dengan spesifikasi setanding tablet andalan namun ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding model andalan. Untuk tahun ini, Samsung hadir dengan pelbagai peningkatan dan juga perubahan pada Galaxy Tab S10 FE+.
Rekaan

Samsung membawa pendekatan yang sama pada rekaan Galaxy Tab S10 FE+. Kekal dengan rekaan sama yang sudah dikenali atau sinonim dengan tablet dari Samsung. Tampil dengan binaan aluminium, rekaan sisi jenis rata dan kemasan jenis kesat pada panel belakang.


Perubahan ketara yang mungkin anda perasan apabila memegang tablet ini adalah ia lebih nipis berbanding model sebelumnya. Galaxy Tab S10 FE+ hanya setebal 6.0mm berbanding 6.5mm pada Galaxy Tab S9 FE+. Dengan rekaaan yang nipis ia menjadikan tablet ini lebih mudah untuk dipegang dalam masa yang sama memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

Tambahan pula, tablet ini turut menyokong penarafan IP68 sekaligus menjadikan tablet ini tahan debu dan air. Apa yang boleh dikatakan, tidak banyak pengeluar yang menawarkan penarafan IP69 pada segmen yang sama.
Skrin

Galaxy Tab S10 FE+ hadir dengan skrin yang lebih besar iaitu 13.1-inci dengan resolusi 2880 x 1800. Sebagai perbandingan, Galaxy Tab S9 FE+ menggunakan skrin yang lebih kecil iaitu 12.4-inci. Dengan skrin yang lebih besar, menjadikan ia lebih ideal untuk produktiviti, melukis atau menikmati pelbagai kandungan.

Walaupun menggunakan skrin lebih besar namun Galaxy Tab S10 FE+ masih menggunakan skrin jenis LCD bukan skrin jenis OLED. Namun begitu, skrin yang digunakan pada tablet ini masih mampu menawarkan pengalaman penggunaan yang baik, warna yang dihasilkan cukup baik dengan sudut pandangan yang jelas.


Skrin tablet ini turut menyokong paparan 90Hz, Vision Booster, kecerahan puncak 800 nits dan low light blue untuk penjagaan mata. Pada penggunaan kami, skrin tablet ini boleh dikatakan cukup terang dan jelas untuk pelbagai kandungan.
Prestasi

Galaxy Tab S10 FE+ dijana dengan cip Exynos 1580 yang dipadankan dengan 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Cip ini dibina dengan teknologi binaan 4nm, menjanjikan peningkatan prestasi yang lebih baik dari segi CPU dan GPU berbanding cip Exynos 1380 yang digunakan pada Galaxy Tab S9 FE+.

Bukan sekadar teori atau di atas kertas sahaja, pretasi tablet ini sememangnya cukup baik untuk digunakan pada pelbagai tugasan. Selain itu, kemampuan prestasi ini cukup stabil dan pantas mungkin boleh dikatakan setanding dengan tablet andalan.

Sepanjang penggunaan kami, tiada sebarang masalah berkenaan prestasi yang dihadapi. Apa yang boleh dikatakan peranti ini berjaya menjalankan tugasnya dengan sangat baik. Kebanyakkan aplikasi dan permainan dapat dijalankan dengan lancar dan permainan boleh dimainkan dengan tetapan grafik tinggi tanpa sebarang masalah.
Sistem operasi

Galaxy Tab S10 FE Plus dilancarkan dengan sistem operasi yang terkini iaitu One UI 7 yang berasaskan Android 15. Sistem operasi ini hadir dengan pelbagai penambahbaikan dari segi fungsi, prestasi, antara muka dan juga kemampuan yang lebih baik untuk tujuan produktiviti.

Tablet ini menggunakan antara muka yang mudah dan ringkas untuk digunakan. Jadi, tiada sebarang masalah untuk pengguna baru mengendalikan sistem operasi ini. Seperti mana model Samsung yang lain, tablet ini turut diintegrasikan dengan pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI) untuk menjadikan ia lebih pintar.


Melaluinya, ia hadir dengan beberapa cari AI menarik seperti Object eraser, Best face, Solve math, Hadwriting help, Auto trim, Edit suggestion, Custom filters, Circle to Search dan intergrasi Google Gemini. Terdapat juga ciri AI yang memfokuskan kepada produktiviti iaitu AI select dan Read aloud.

Sekiranya anda menggunakan tablet ini bersama dengan papan kekunci rasmi Samsung, anda boleh mengakses AI dengan lebih mudahdan pantas melalui butang khas iaitu Galaxy AI Key. Bukan itu sahaja, Samsung turut memuatkan beberapa aplikasi produktiviti dan kreatif secara terbina antaranya LumaFusion, GoodNotes, Noteshelf 3, Clip Studio Paint Skecthbook dan Picsart.
Lebih menarik, Samsung menjanjikan sokongan kemas kini sehingga 7 tahun. Ini bermakna pengguna Galaxy Tab S10 FE+ akan menerima kemas kini Android dan keselamatan sehingga tahun 2032.
Kamera

Berbeza dengan model sebelumnya, Galaxy Tab S10 FE+hanya dilengkapi dengan satu kamera belakang dengan sensor 13MP dan swafoto 12MP . Samsung tidak lagi menyertakan kamera ultra lebar yang dimuatkan pada model sebelumnya. Ketiadaan kamera ultra lebar menjadikan kemampuan fotografi pada tablet ini kurang fleksible.


Walau bagaimanapun, kemampuan kamera ini boleh dikatakan memuaskan untuk pengguna dan keperluan harian. Kamera tablet ini mampu memberikan hasil gambar dengan kualiti dan perincian yang baik pada situasi dengan cahaya yang cukup. Namun, untuk situasi cahaya rendah hasil gambar kurang jelas dan perincian tidak dapat dikekalkan.

Dari segi rakaman, ia menyokong rakaman video sehingga 4K pada 30fps yang mampu memberikan hasil video yang baik dalam pencahayaan yang cukup. Untuk sebuah tablet, kemampuan kamera pada tablet ini boleh dikatakan lebih daripada cukup bagi kebanyakkan pengguna.
Bateri

Galaxy Tab S10 FE+ kekalkan menggunakan kapasiti bateri yang sama seperti model sebelumnya iaitu 10,090mAh yang dipadankan dengan pengecasan 45W. Masa untuk mengecas tablet ini dari 0% hingga 100% mengambil masa sekitar 1 jam 40 minit. Namun begitu, kepala pengecasan tidak tersedia di dalam kotak.


Pada percubaan kami, untuk kegunaan biasa dan pelbagai ia mampu menawarkan screen on time (sot) sekitar 8 jam 43 minit. Manakala untuk penggunaan lebih lebih berat ia mampu mencapai sekitar 6 jam 30 minit. Namun begitu, harus diingatkan penggunaan yang berbeza akan memberikan hasil yang berbeza.

Apa yang boleh dirumuskan, kemampuan bateri pada Galaxy Tab S10 FE+ sememangnya mengagumkan untuk sebuah tablet dengan saiz skrin yang besar. Jadi, sekiranya anda mencari tablet yang menawarkan ketahanan bateri yang panjang Galaxy Tab S10 FE+ adalah jawapannya.
Kesimpulan

Memang tidak boleh dinafikan yang Galaxy Tab S10 FE+ bukanlah tablet dari kelas andalan. Namun begitu, tablet ini hadir dengan pakej yang menarik merangkumi spesifikasi, rekaan dan juga fungsi yang setanding kelas andalan.

Kesimpulannya, Galaxy Tab S10 FE+ boleh dikatakan pilihan ideal untuk mereka yang mencari tablet dengan harga berpatutan, prestasi stabil dan sokongan kemas kini yang panjang.