Close

Nintendo Switch 2 akan tiba di Malaysia pada 3 Julai ini

Nintendo secara rasmi mengesahkan ketibaan konsol mudah alih baru mereka iaitu Switch 2, akan tiba ke pasaran tempatan pada 3 Julai ini. Perkara tersebut dikongsi melalui laman web rasmi Nintendo Malaysia.

Sebelum ini, tiada tarikh yang spesifik yang dikongsi oleh Nintendo Malaysia sebaliknya hanya menyatakan ia tiba sekitar Julai hingga September 2025. Walau bagaimanapun, ketibaan konsol ini ke pasaran Malaysia lewat seminggu berbanding pasaran Thailand, Singpura dan Filipina pada 26 Jun ini. Namun begitu, ia lebih baik berbanding lewat sebulan atau lebih.

Switch 2 merupakan penyambung kepada kejayaan konsol pertama iaitu Switch yang diperkenalkan pada tahun 2017. Switch 2 hadir dengan pelbagai peningkatan yang menarik seperti skrin yang lebih besar, sokongan kawalan baru melalui Joy-Con 2 dan prestasi yang lebih berkuasa.

Bukan itu sahaja, konsol ini turut menyokong mod permainan yang lebih interaktif dengan ciri baru iaitu GameChat yang membolehkan pengguna berkongsi skrin secara langsung ketika bermain. Selain itu, konsol hadir dengan dock baru yang menyokong paparan sehingga 4K apabila disambungkan pada TV.

Buat masa ini, hanya harga jualan sahaja yang menjadi rahsia. Kita mungkin boleh menjangkakan harga jualan rasmi mungkin dikongsi dalam masa terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN