Close

Xiaomi AI Glasses diperkenalkan – Cermin mata pintar dengan bateri 8 jam

Seiring dengan pelancaran MIX Flip 2, Xiaomi turut memperkenalkan cermin pintar pertama mereka iaitu AI Glasses. Hadir dengan rekaan menarik, spesifikasi yang berkuasa dan menyokong pelbagai fungsi yang dikuasakan oleh AI.

Xiaomi AI Glasses tampil dengan rekaan yang sesuai untuk pengguna Asia dengan berat sekitar 40gram. Engsel peranti ini menggunakan bahan binaan aloi titanium untuk memberi ketahanan yang lebih baik. Selain itu, peranti ini boleh dipasang dengan kanta rabun preskripsi dan menyokong kawalan jenis sentuh pada bahagian tepi kanan bingkai.

Cermin mata pintar ini dilengkapi dengan sistem kamera 12MP Sony IMX681 yang menyokong rakaman video dan juga gambar. Terdapat dua pembesar dan lima mikrofon terbina dengan teknologi bone-conduction dan kalis bunyi angin.

Peranti ini dikuasakan dengan sistem dwi-cip iaitu Snapdragon AR1 dan cip berkuasa rendah yang tidak didedahkan. Menjalankan sistem operasi khas yang dipanggil sebagai Xiaomi Vela OS. Seperti namanya, peranti ini menyokong pelbagai ciri AI seperti pengecaman objek, terjemahan teks masa nyata, Imbasan kod QR, kiraan kalori dan terjemahan perbualan masa nyata.

Dimuatkan dengan bateri sebesar 263mAh yang mampu bertahan sehingga 8.6 jam untuk penggunaan biasa. Xiaomi mendakwa, peranti ini mempunyai ketahanan bateri dua kali ganda lebih baik berbanding Ray-Ban Meta. Untuk pengecasan, ia menggunakan pengecasan jenis USB-C.

Di China, Xiaomi AI Glasses ini dijual pada harga sekitar CNY1999 (RM1200) dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Black, Brown dan Green.

ARTIKEL BERKAITAN