Samsung melalui acara Galaxy Unpacked telah memperkenalkan telefon lipat baru mereka iaitu Samsung Galaxy Z Fold7. Tampil dengan pelbagai peningkatan menarik merangkumi rekaan, spesifikasi dan Galaxy AI.

Galaxy Z Fold7 tampil dengan rekaan yang lebih nipis dan ringan berbanding model sebelumnya. Peranti ini hanya setebal 8.9mm apabila dilipat dan menjadi 4.2mm apabila dibuka. Dari segi berat, Galaxy Z Fold7 hanya seberat 215gram berbanding 239gram pada Galaxy Z Fold6.

Terdapat peningkatan saiz pada skrin dalaman dan luaran, skrin dalaman kini bersaiz 8.0-inci Dynamic OLED 2X dengan resolusi QXGA+. Manakala untuk skrin luar kini bersaiz 6.5-inci Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi FHD+ dan aspek ratio 21:9. Kedua-dua skrin menyokong paparan adaptif 120Hz dan dilindungi dengan Gorilla Glass Victus 2.

Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Elite yang dipadankan dengan RAM sehingga 16GB dan storan dalaman sehingga 1TB. Samsung mendakwa Galaxy Z Fold7 menawarkan peningkatan prestasi sehingga 38% untuk CPU, 26% untuk GPU dan 41% untuk NPU. Dimuatkan dengan bateri 4400mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W yang mampu mengecas 0% ke 50% hanya dalam 30 minit sahaja.

Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 200MP OIS + 12MP Ultra Lebar + 10MP Telefoto OIS dengan 3x zum optik. Manakala, untuk swafoto ia tampil dengan sensor 10MP bawah skrin untuk skrin utama dan 10MP untuk skrin kedua. Galaxy Z Fold7 turut dimuatkan dengan beberapa ciri Galaxy AI chat assist composer, Potrait studio, Intrepreter, suggest erases, side-by-side editing dan show original.
Spesifiasi lain yang turut dibawakan adalah seperti penarafan IP48, pembesar suara jenis stereo, pengimbas cap jari pada butang kuasa, Bluetooth 5.4, Wi-Fi 7, Samsung Knox dan menjalankan sistem operasi One UI 8 yang berasaskan Android 16.

Di Malaysia, Galaxy Z Fold7 dijual pada harga bermula RM7799 untuk 12GB + 256GB, RM8399 untuk 12GB + 512GB dan RM9899 untuk 16GB + 1TB. Ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Blue Shadow, Silver Shadow, Jetblack dan Mint. Bagi yang berminat, peranti ini boleh dipra-tempah bermula hari ini sehingga 31 Julai 2025.