Sistem tol Multi Lane Fast Flow (MLFF) atau sistem tol tanpa palang dijangka akan dilaksanakan seawal tahun 2027.
Perancangan untuk melaksanakan sistem MLFF telahpun kedengaran sejak beberapa tahun yang lalu. Namun begitu, sistem tersebut masih lagi belum dilaksanakan. Menurut Setiausaha Agung KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim, pelaksanaan sistem MLFF melibatkan pelbagai proses penting sebelum ia dapat dilaksanakan.
Beberapa parameter asas telahpun dirangka oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) namun masih belum boleh dimulakan kerana masih menunggu keputusan kabinet. Selain itu, KKR tidak mahu mengambil risiko menghadapi isu perundangan jika bertindak tanpa arahan rasmi.
Selain itu, peraturan atau perundangan baru mungkin diperlukan untuk membolehkan pemantauan dan perlaksanaan sistem MLFF dilakukan secara menyeluruh.

Sistem MLFF yang menggunakan teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) membolehkan kenderaan melalui plaza tol tanpa perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan.