Tecno Malaysia akhirnya berkongsi tarikh pelancaran siri Tecno Pova 7 5G ke pasaran tempatan, dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos ini. Dua model dijangka akan diperkenalkan iaitu Tecno Pova 7 5G dan Tecno Pova 7 Ultra 5G.
Pova 7 5G dan Pova 7 Ultra 5G akan hadir dengan pelbagai peningkatan yang lebih baik dari segi rekaan dan juga spesifikasi. Kedua-dua model dijangka akan ditawarkan pada harga yang berpatutan sesuai untuk pengguna yang mahukan prestasi tanpa berbelanja lebih.

Perkara menarik mengenai pada Pova 7 5G dan Pova 7 Ultra 5G adalah ia hadir dengan delta light interface, mirip seperti Nothing glyph interface. Diletakkan di sekeliling modul kamera yang berbentuk segi tiga dan mengandungi 104 lampu LED mikro. Boleh digunakan untuk notifikasi, muzik, pengecasan dan banyak lagi.

Pova 7 5G dijangka hadir dengan skrin IPS LCD bersaiz 6.78-inci dengan paparan 144Hz, cip Dimensity 7300 Ultimate, pengecasan 45W dan bateri 6000mAh. Manakala, Pova 7 Ultra 5G pula hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 6.67-inci dengan paparan 144Hz, cip Dimensity 8350 Ultimate, pengecasan 70W dan bateri 6000mAh.
Seperti biasa, maklumat mengenai harga jualan dan ketersediaan dijangka akan diumumkan pada acara pelancarannya kelak.