Close

Ulasan Galaxy Watch8 Classic – Rekaan klasik, teknologi futuristik

Selepas tidak diperkenalkan pada tahun lalu, Samsung kini membawakan kembali model ‘Classic’ melalui Galaxy Watch8. Berbeza dengan model sebelumnya, Galaxy Watch8 Classic hadir dengan rekaan serba baru, prestasi yang lebih efisien dan ciri kesihatan berasaskan AI.

Rekaan dan binaan

Rekaan adalah tarikan utama pada Galaxy Watch8 Classic, tampil dengan rekaan yang berbeza dari generasi sebelumnya. Diinspirasikan dari rekaan Galaxy Watch Ultra yang mengabungkan gaya klasik dan juga moden. Galaxy Watch8 Classic sememangnya premium dari segi penampilan yang menggunakan reka bentuk ‘squircle’ yang lebih menonjol.

Pada pendapat kami Galaxy Watch8 Classic ia terasa lebih tebal dan berat, menjadikan ia terasa kurang selesa pada sesetengah keadaan. Kami juga telah mencuba Galaxy Watch8 dan kami rasakan model ini lebih ringan dan lebih selesa berbanding Galaxy Watch8 Classic. Namun begitu, anda mungkin pendapat yang berbeza.

Samsung masih mengekalkan bingkai ikonik yang boleh berputar, membolehkan ia digunakan untuk melakukan navigasi dengan lebih pantas dan tepat. Rekaan bingkai berputar pada Galaxy Watch8 Classic lebih menonjol kerana terdapat rekaan beralur yang jelas. Berbeza pada Galaxy Watch6 Classic yang mempunyai bingkai boleh putar dengan alur yang lebih halus.

Galaxy Watch8 Classic tersedia dalam satu pilihan saiz sahaja iaitu 46mm dengan skrin Super AMOLED bersaiz 1.34-inci. Skrin peranti ini sememangnya menawarkan pengalaman visual yang cukup baik ditambah pula dengan kecerahan puncak sehingga 3000 nits untuk memberikan penggunaan luar yang lebih baik.

Bukan dua tetapi tiga butang kawalan yang dimuatkan pada Galaxy Watch8 Classic yang diletakkan di sebelah kanan. Butang ketiga atau butang tambahan ini diinspirasikan dari Galaxy Watch Ultra, boleh diprogramkan untuk membuka ciri tertentu seperti memulakan senaman atau membuka lampu suluh. Bukan itu sahaja, Dynamic Lug System yang digunakan pada Galaxy Watch Ultra turut dimuatkan untuk memberikan keselesaan yang lebih baik dan memudahkan proses penukaran tali jam.

Dari segi ketahanan, Galaxy Watch8 Classic menyokong penarafan IP68, ketahanan tentera MIL-STD-810H dan 5 ATM. Selain itu, skrin peranti ini dilindungi dengan sapphire glass yang tahan lasak. Menjadikan peranti ini sesuai untuk digunakan dalam pelbagai aktiviti dan keadaan.

Prestasi

Galaxy Watch8 Classic dikuasakan dengan cip yang lebih berkuasa iaitu Exynos W1000 yang dipadankan dengan 2GB RAM dan storan dalaman 64GB. Jadi, prestasi bukan perkara yang perlu dirisaukan pada peranti ini.

Secara keseluruhan, prestasi yang ditawarkan sememangnya baik boleh dikatakan lebih dari memadai. Pada pengguna kami, tiada sebarang masalah yang dihadapi semua aplikasi dapat dijalankan dengan baik dan pengalaman multi tugas juga lancar.

Dalam usaha membantu pengguna menjalani kehidupan yang lebih sihat, Samsung hadir dengan pelbagai ciri menarik seperti Antioxidant Index, Bedtime Guidance dan Vascular Load. Untuk Antioxidant Index, ia mengukur paras karotenoid yang membantu pengguna membuat pilihan gaya hidup yang lebih baik. Manakala, Bedtime Guidance pula membantu untuk dapat tidur yang optimum sementara Vascular Load pula memantau sejauh mana sistem vaskular pengguna tertekan semasa tidur.

Samsung turut memuatkan beberapa lagi ciri menarik seperti Running Coach dan Together. Yang mana ciri ini membolehkan pengguna mencipta pelan latihan mengikut tahap kecerdasan dan boleh bersaing dengan rakan melaluinya. Selain itu, terdapat juga ciri lain seperti High Stress Alert, Mindfulness Tracker dan Energy Score.

Tidak ketinggalan, terdapat juga pelbagai mod sukan dan senaman dengan beberapa mod boleh dikesan secara automatik. Selain itu, pengguna juga boleh menetapkan keupayaan untuk berlatih dalam kadar zon denyutan jantung yang tertentu. Turut menyokong Dual-Frequency GPS yang menjanjikan ketepatan penjejakan yang lebih baik.

Sistem operasi

Galaxy Watch8 Classic merupakan jam tangan pintar terawal yang menggunakan sistem operasi Wear OS 6 dengan antara muka One UI 8 Watch. Menjadikan ia lebih istimewa, peranti ini juga peranti terawal yang menyokong intergrasi Gemini yang merupakan pembantu AI generasi baru dari Google.

Gemini boleh diakses secara terus dari jam tangan pintar dengan menggunakan arahan suara. Melaluinya, pengguna boleh melakukan pelbagai fungsi fon dengan hanya melalui jam sahaja. Walau bagaimanapun, pengguna perlu menyambungkan peranti untuk mula mengakses Gemini.

Bercakap mengenai antara muka One UI 8 Watch, ia kini hadir dengan beberapa perubahan menarik seperti Tiles kini lebih interaktif dan boleh disusun mengikut keutamaan. Perubahan ini memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan efisien. Terdapat juga ciri baru iaitu Now Bar yang memaparkan notifikasi pada skrin utama untuk kawalan ringkas dan akses pantas kepada aktiviti atau aplikasi yang sedang digunakan.

Samsung turut menawarkan aplikasi khusus iaitu Samsung Health yang memboleh pengguna memantau kesihatan dengan lebih mendalam. Bagi untuk mendapatkan potensi penuh Galaxy Watch8 Classic anda perlu menggunakannya bersama dengan peranti Samsung. Tidak ketinggalan, ia juga menyokong pembayaran tunai melalui NFC dengan menggunakan Samsung Pay atau Google Wallet.

Bateri

Ketahanan bateri Galaxy Watch8 Classic boleh dikatakan baik dengan kapasiti bateri 445mAh. Bagi penggunaan biasa peranti ini mampu menawarkan ketahanan sehingga 2 hari. Namun, untuk penggunaan yang aktif dengan pelbagai ciri dihidupkan ketahanan bateri yang diberikan sekadar memuaskan.

Secara purata ketahanan bateri untuk Galaxy Watch8 Classic sekitar 39 jam hingga 49 jam bergantung kepada penggunaan. Untuk aktiviti senaman selama 30 minit dengan ciri GPS diaktifkan ia menggunakan sekitar 5% bateri. Namun begitu, jangka hayat bateri mungkin berbeza mengikut kepada penggunaan, mungkin lebih panjang atau mungkin lebih pendek.

Dari segi pengecasan, Galaxy Watch8 Classic menyokong pengecasan yang agak pantas. Untuk 25 minit pengecasan ia mampu memberikan 45% bateri manakala untuk pengecasan penuh ia memerlukan masa sekitar 1 jam 35 minit.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, Galaxy Watch8 Classic boleh dikatakan sebagai salah satu jam tangan pintar terbaik yang ada di pasaran ketika ini. Keupayaan dan juga kemampuan jam tangan pintar ini berada di kelasnya yang tersendiri. Resipi terbaik pada Galaxy Watch8 Classic adalah pada rekaan yang menarik dan sistem operasi yang lancar.

ARTIKEL BERKAITAN