Apple dikatakan bakal membuat perubahan besar pada pelancaran iPhone bermula dengan siri iPhone 18.
Menurut laporan terbaru, Apple tidak lagi akan melancarkan semua model iPhone secara serentak seperti kebiasaannya. Siri iPhone 18 akan menjadi model pertama yang akan dilancarkan dalam dua acara yang berbeza.

Acara pertama akan diadakan seperti sebelum ini iaitu sekitar September, memperkenalkan model premium iaitu iPhone 18 Air, iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max. Manakala acara kedua akan dilakukan pada awal 2027, memperkenalkan model asas seperti iPhone 18 dan iPhone 18e.
Perubahan ini tidak hanya terpakai untuk siri iPhone 18 sahaja, tetapi akan digunakan pada siri iPhone yang seterusnya. Apple mungkin ingin memberi fokus kepada model premium dan inovasi baru seperti iPhone lipat.
Buat masa ini, tiada maklumat rasmi yang dikongsi oleh Apple mengenainya. Jika laporan ini tepat, kita mungkin boleh menjangkakan terdapatnya perubahan besar dalam cara Apple memperkenalkan iPhone generasi akan datang.