Samsung secara rasmi memperkenalkan Galaxy Buds3 FE, model terbaru dalam barisan Galaxy Buds. Hadir dengan rekaan serba baru dengan pelbagai peningkatan yang lebih baik berbanding model sebelumnya.

Galaxy Buds3 FE tampil dengan rekaan jenis ‘Blade’ yang sama seperti Galaxy Buds3 Pro tapi tanpa lampu LED pada bahagian tangkai. TWS ini hadir dengan 1-Way Dynamic Driver yang menawarkan bunyi bass yang mendalam dan treble yang lebih jelas.

Sistem Active Noise Cancelling (ANC) turut dipertingkatkan, membolehkan pendengaran lebih imersif walaupun di kawasan bising. Selain itu, Samsung turut menyertakan fungsi Crystal Clear Call yang dikuasakan oleh AI, mengasingkan suara pengguna dan memastikan panggilan lebih jelas.

Galaxy Buds3 FE dilengkapi dengan tiga mikrofon secara terbina dan menyokong kawalan muzik atau suara melalui bahagian tangkai earbuds. TWS ini turut menyokong pembantu AI yang boleh diakses dengan arahan suara ‘Hey Google’.

Selain itu, iai turut menyokong sokongan codec SSC, AAC dan SBC. Galaxy Buds3 FE ini mampu bertahan sehingga 8 Jam dengan mod ANC dimatikan dan 6 jam dengan mod ANC diaktifkan. Dengan bekas pengecas, ia mampu menawarkan jangka hayat penggunaan sehingga 24 jam dengan ANC dan 30 jam tanpa ANC. Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah seperti penarafan IP54 dan Bluetooth 5.4.
Galaxy Buds3 FE dijual pada harga RM499 dan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Hitam dan Putih. Bagi yang berminat, Galaxy Buds3 FE boleh dibeli bermula 19 September 2025.