ASUS tidak merancang untuk memperkenalkan fon baru sepanjang tahun ini (2026), termasuk siri Zenfone ataupun ROG Phone. Menariknya, maklumat mengenai perkara tersebut datang dari pihak ASUS sendiri.

Walau bagaimanapun, ASUS tidak merancang untuk menamatkan operasi perniagaan mudah alih mereka. Selain itu, ASUS menjelaskan sokongan seperti penyelenggaraan, naik taraf perisian dan perkhidmatan jaminan untuk peranti sedia ada tidak akan terjejas.

ASUS tidak menjelaskan secara terperinci sebab utama mereka menghentikan pelancaran fon buat sementara waktu. Namun begitu, kita mungkin boleh menjangkakan permintaan yang semakin rendah dan saingan yang kompetitif dalam pasaran global menyebabkan ASUS mengambil pendekatan tersebut.

Pada tahun lalu, ASUS telah memperkenalkan dua peranti iaitu Zenfone 12 Ultra dan juga ROG Phone 9. Di Malaysia, ASUS hanya menawarkan satu model sahaja iaitu siri ROG Phone 9, dijual pada harga bermula RM2999.