Close

5 teknologi menarik di CES 2026

Acara Consumer Electronic Show (CES) boleh dikatakan antara acara yang dinanti oleh kebanyakkan peminat teknologi. CES merupakan acara teknologi yang popular dan berpengaruh di dunia. Pada acara ini, pengeluar akan mempamerkan pelbagai teknologi baru yang menarik untuk diperlihatkan.

LEGO Smart Brick

LEGO secara rasmi mengumumkan Smart Brick, merupakan inovasi terbesar dalam sistem LEGO sejak pengenalan minifigure yang diperkenalkn pada tahun 1978.

Smart Brick adalah bongkah LEGO 2×4 pertama yang dimuatkan dengan komputer kecil atau tiny computer di dalamnya. Dimuatkan dengan pelbagai teknologi moden termasuk sensor cahaya, sensor gerakan, sensor inersia (untuk kesan pergerakan, condong dan isyarat), mikrofon, NFC serta sokongan Bluetooth.

Melalui teknologi ini, Smart Brick boleh berinteraksi antara satu sama lain sekali gus menjadikan set LEGO lebih realistik. Lebih menarik, apabila berdekatan dengan Smart Tags minifigure dengan ciri NFC boleh menghasilkan bunyi, muzik dan cahaya.

Smart Brick tidak menggunakan bateri AAA, AI atau kamera sebaliknya menggunakan pengecasan tanpa wayar untuk dicas pada pad khas. Bateri Smart Brick dikatakan mampu bertahan sehingga bertahun-tahun jika tidak digunakan. Set LEGO Star Wars akan jadi LEGO pertama guna Smart Brick dan akan mula dijual pada Mac 2026.

ASUS ROG XREAL R1

ASUS bekerjasama dengan XREAL untuk menghasilkan cermin mata Augmented Reality (AR) yang dipanggil sebagai ROG XREAL R1. Memfokuskan kepada permainan video, Merupakan cermin mata gaming pertama di dunia yang menggunakan panel micro-OLED dengan paparan 240Hz.

Boleh disambungkan dengan skrin maya bersaiz sehingga 171-inci pada jarak 4 meter dan menyokong paparan keluar pada resolusi 4K 60Hz. Dikuasakan dengan cip X1 spatial co-proscessing dengan kemampuan 3 Degrees of Freedom (3DoF) dan kependaman motion-to-photo hanya 3ms.

ROG XREAL R1 boleh disambungkan ke PC dan konsol melalui ROG Control Dock yang dilengkapi dengan 1x sambungan DisplayPort 1.4 dan 2x sambungan untuk HDMI 2.0. Turut dimuatkan dengan teknologi electrochromic lens, boleh laras tahap kegelapan dan ketelusan mengikut keadaan cahaya. Menggunakan sistem audio dari Bose yang menawarkan pengalaman bunyi yang lebih baik dan lebih jelas.

Razer ‘Project Mokoto’

Razer memperlihatkan Project Motoko, merupakan fon kepala tanpa wayar berasaskan kepada AI yang dilengkapi dengan kamera terbina. Dikuasakan dengan cip dari Snapdragon direka untuk mengabungkan elemen permainan, gaya hidup dan produktiviti dalam satu platform pintar.

Perkara unik pada peranti ini adalah, terdapat kamera yang diletakkan pada paras mata pengguna yang mampu mengesan objek dan teks secara masa nyata. Mampu menterjemah papan tanda, mengira ulangan senaman di gim, serta meringkaskan dokumen secara terus.

Fon kepala ini turut dilengkapi dua mikrofon terbina yang berfungsi serentak untuk menangkap arahan suara serta perbualan di sekeliling pengguna. Sistem AI dalam Project Motoko mampu mentafsir dan memberi respons dengan pantas bertindak sebagai pembantu AI sepenuh masa.

Boleh berhubung dengan pelbagai platform AI popular seperti Grok, ChatGPT dan Gemini. Walau bagaimanapun, Project Motoko masih lagi dalam fasa peranti konsep dan bukan produk komersial buat masa ini.

Roborock Saros Rover

Roborock memperkenalkan konsep robot vakum baru yang tampil dengan pendekatan berbeza serta rekaan yang unik. Robot vakum ini dipanggil sebagai Saros Rover mempunyai sepasang kaki beroda atau leg wheels untuk memboleh ia melompat dan memanjat tangga.

Kaki beroda ini diletakkan pada bahagian sisi dan robot vakum ini boleh mengimbangi diri sendiri apabila berdiri. Paling menarik, Saros Rover bukan sahaja mampu naik dan turun tangga, tetapi boleh membersihkan setiap anak tangga secara individu, satu tugas pembersihan yang dianggap sukar untuk robot vakum biasa.

Saros Rover menggunakan cara yang sama untuk panjat dan turut tangga. Selain itu, kaki beroda tersebut akan dilipat apabila tidak digunakan. Menurut Roborock, Saros Rover masih lagi diperingkat prototaip dan tiada maklumat mengenai ketibaannya.

Lenovo Legion Pro Rollable

Lenovo mengumumkan Legion Pro Rollable, komputer riba permainan yang cukup menarik dengan skrin fleksible yang boleh dikembangkan dalam saiz yang berbeza. Secara asasnya, nisbah skrin untuk komputer riba ini adalah 16:10 yang boleh dilebarkan ke 21:9 dan seterusnya 24:9.

Ciri paling menonjol pada komputer riba ini semestinya pada skrin yang boleh dikembangkan. Dengan hanya menekan butang, skrin komputer riba ini boleh dikembangkan dari saiz 16-inci hingga 24-inci. Lenovo menggunakan mekanisme sistem dwi-motor tension-based yang membolehkan kedua-dua skrin dikembangkan.

Sistem ini direka untuk memastikan paparan kekal tegang bagi mengelakkan masalah seperti kedutan, skrin tidak sekata, atau getaran semasa pergerakan. Walau bagaimanapun, Legion Pro Rollable hanyalah peranti konsep dengan harapan ia mungkin akan direalisasikan sebagai produk komersial pada masa akan datang.


ARTIKEL BERKAITAN