Apple memperkenalkan pakej langganan untuk aplikasi kreatif yang ditawarkan dengan harga yang menarik dan boleh dilanggan secara bulanan dan juga tahunan. Pakej langganan ini dipanggil sebagai Apple Creator Studio.

Apple Creator Studio ditawarkan dengan beberapa aplikasi utama seperti Final Cut Pro, Logic Pro, Motion, Compressor, MainStage dan Pixelmator Pro. Selain itu, Apple turut menawarkan beberapa ciri tambahan berasaskan AI untuk aplikasi produktiviti seperti Keynote, Pages, Numbers dan Freeform.

Apple Creator Studio ditawarkan pada harga RM29.90 sebulan dan RM299 setahun, boleh dilanggan bermula 28 Januari 2026. Pengguna mempunyai pilihan untuk membeli set lengkap melalui Creator Studio atau membeli aplikasi individu bergantung kepada keperluan.
Selain itu, Apple masih menawarkan pembelian perisian secara one-time purchase untuk aplikasi seperti Final Cut Pro, Pixelmator Pro, Logic Pro, Motion, Compressor dan MainStage. Ketibaan Apple Creator Studio dijangka dapat meningkatkan lagi produktiviti dan mempercepatkan aliran kerja bagi pencipta kandungan atau kerja-kerja yang berkaitan.