Sony Honda Mobility (SHM) secara rasmi mengumumkan pembangunan dan pelancaran untuk AFEELA 1 dihentikan. Keputusan ini turut terkesan pada model kedua yang sedang dibangunkan dan masih tidak mempunyai nama rasmi.

Perbincangan antara kedua-dua syarikat induk iaitu Sony Group Corporation dan Honda Motor Co. Ltd telah dibuat dengan keputusan pembangunan dan pengeluaran EV dihentikan. Keputusan ini, menandakan penamat kepada salah satu kolaborasi paling menarik dalam dunia automotif dan teknologi.

Sebagai rekod, projek AFEELA mula diperkenalkan pada 2023 menerusi usaha sama antara Sony dan Honda di bawah syarikat Sony Honda Mobility (SHM). Pada CES 2023, Sony Honda Mobility (SHM) secara rasmi mengumumkan kenderaan elektrik pertama mereka iaitu AFEELA.
AFEELA menggunakan konsep rekaan Sony Vision S dengan lebih dari 40 penderia dimuatkan untuk meningkatkan keupayaan mengesan objek dan juga pemanduan autonomi. Sekiranya dilancarkan, EV pertama dari SHM akan bersaing dengan pembuat kereta seperti Mercedes-Benz, BMW, Volvo dan Audi.
Bagi pelanggan yang telah membuat tempahan awal untuk AFEELA 1, pemulangan wang penuh akan dilakukan oleh SHM. Walaupun AFEELA dihentikan, Sony dan Honda akan meneruskan perbincangan mengenai pelan perniagaan masa depan.