vivo Y600 Pro diperkenalkan secara rasmi, merupakan sebuah peranti kelas pertengahan yang hadir dengan kapasiti bateri hampir dua kali ganda berbanding generasi sebelumnya.

vivo Y600 Pro hadir dengan kapasiti bateri 10,200mAh sekali gus menjadikan ia antara fon dengan bateri terbesar dalam pasaran ketika ini. Walaupun hadir dengan kapasiti bateri yang besar, namun peranti ini masih menawarkan rekaan yang nipis dan pratikal untuk kegunaan harian.

Y600 Pro menggunakan teknologi silicon-carbon (Si-C) generasi keempat dan menyokong pengecasan 90W. Teknologi ini membolehkan kapasiti bateri lebih besar dimuatkan dalam masa yang sama dapat mengekalkan saiz peranti yang pratikal. Peranti ini hanya setebal 8.25mm dengan penambahan sekitar 0.4mm berbanding model sebelumnya.

Untuk spesifikasi lain, peranti ini dilengkapi dengan cip Dimensity 7300e, skrin AMOLED bersaiz 6.83-inci, paparan 120Hz dan kamera utama 50MP. Selain itu, peranti ini menyokong IR Blaster, penarafan IP68/IP69 dan menjalankan sistem operasi OriginOS 6 berasaskan Android 16.
Di China, Y600 Pro ini dijual pada harga bermula CNY2099 (RM1215) untuk 8GB + 128GB dan CNY2899 (RM1678) untuk 12GB + 512GB. Ditawarkan dengan 4 pilihan warna iaitu Black, Blue, Gold dan Violet.