Infinix Malaysia secara rasmi memperkenalkan peranti baru iaitu GT 50 Pro sekaligus menggantikan model semasa iaitu GT 30 Pro. Tampil dengan pelbagai peningkatan yang lebih baik dari segi prestasi dan juga rekaan.

Seperti yang kita tahu, model ini memfokuskan kepada permainan. Berikutan itu, ia hadir dengan sistem ‘HydroFlow Liquid Cooling Architecture’ yang direka untuk mengawal suhu dan memastikan peranti kekal stabil. Menariknya, pengguna boleh melihat aliran atau pergerakan cecair pada sistem ini melalui panel belakang.

Bukan itu sahaja, Infinix GT 50 Pro turut dilengkapi dengan Open-Cut Pressure-Sense GT Trigger yang menyokong teknologi tekanan dua tahap untuk kawalan yang responsif. GT Trigger ini turut boleh ditetapkan untuk beberapa fungsi lain seperti kawalan media, mengaktifkan pembantu maya dan melancarkan aplikasi.

Untuk spesifikasi, Infinix GT 50 Pro hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 6.78-inci dengan resolusi 1.5K dan paparan 144Hz. Dikuasakan dengan cip Dimensity 8400 Ultimate yang dipadankan dengan RAM 12GB LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 4.1.

Dari segi fotografi, ia dilengkapi dengan tetapan dwi-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 8MP Ultra Lebar dan 13MP swafoto. Dimuatkan dengan bateri 6500mAh yang menyokong pengecasan berwayar 45W dan 30W tanpa wayar.

Selain itu, peranti turut hadir dengan lampu LED RGB pada bahagian panel belakang menyokong 14 kesan pencahayaan dan boleh digunakan sebagai lampu notifikasi untuk panggilan masuk, pengecasan dan sebagainya.
Spesifikasi lain yang turut dimuatkan adalah seperti sistem penyejukkan, NFC, pembesar suara jenis stereo, pengimbas cap jari bawah skrin, WiFi 6 dan menjalankan sistem operasi XOS 16.

Di Malaysia, Infinix GT 50 Pro dijual pada harga RM1899 (12GB + 256GB) dan RM2199 (12GB + 512GB). Tersedia dalam 3 pilihan warna iaitu Black Abyss, Red Blaze dan Silver Glacier.