Meta secara rasmi mengumumkan cermin mata pintar baru berasaskan kercerdasan buatan (AI) pada harga lebih mampu milik.

Cermin mata pintar ini dikenali sebagai Meta Glasses dan dibangunkan sendiri oleh Meta dengan kerjasama EssilorLuxottica tanpa penjenamaan Ray-Ban dan Oakley. Ditawarkan dalam tiga pilihan rekaan iaitu Adventurer dengan bingkai kecil, Fury yang lebih besar dan bulat, serta Meta Glasses by Kylie yang direka bersama selebriti Kylie Jenner.

Meta Glasses dimuatkan dengan kamera pada bahagian hadapan, integrasi speaker, lampu LED dan juga sebuah butang tambahan. Boleh digunakan untuk memainkan muzik, menterjemah bahasa secara masa nyata dan menjawab soalan berkaitan persekitaran pengguna menggunakan kamera terbina.

Selain itu, Meta turut memperkenalkan model AI baru dikenali sebagai Muse Spark yang dikatakan lebih pintar dalam memahami imej serta mengingati keutamaan pengguna. Dari segi ketahanan bateri, ia mampu menawarkan masa pengguna sekitar 8 jam dan mencapai sehingga 40 jam dengan kotak simpanan.

Tarikan utama pada Meta Glasses ini adalah pada penawaran harganya yang ditawarkan bermula sekitar $299 (RM1239), lebih rendah berbanding model Ray-Ban Meta yang dijual pada harga bermula $379 (RM1570). Dengan harga jualan yang lebih mampu milik, cermin mata pintar ini dijangka akan menjadi peranti popular dalam beberapa tahun akan datang.