Sony mengesahkan yang mereka merancang untuk mengambil alih Tamron, sekali gus berpotensi untuk menjadikan pengeluar lensa terkenal dari Jepun itu sebagai anak syarikat milik penuh Sony.
Menurut laporan, Sony telah mengemukakan tawaran untuk mengambil alih Tamron dan perkara tersebut turut disahkan oleh Tamron menerusi kenyataan rasmi selepas rancangan pengambilalihan tersebut tertiris.
Menurut Tamron, syarikat itu telah menerima cadangan yang tidak mengikat (non-binding proposal) daripada Sony. Walau bagaimanapun, syarikat itu tidak mendedahkan sebarang butiran kewangan berkaitan tawaran tersebut.

Tamron telahpun menubuhkan jawatankuasa khas untuk menilai cadangan tersebut. Walaupun tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini, tindakan menubuhkan jawatankuasa khas menunjukkan syarikat itu sedang mempertimbangkan tawaran berkenaan secara serius.
Dengan pengumuman tersebut, saham Tamron melonjak sekitar 29% dalam dagangan di Jepun, manakala saham Sony turut mencatatkan sedikit kenaikan dalam dagangan pra-pasaran.
Sekiranya urus niaga ini berjaya dimuktamadkan, Sony akan memiliki kawalan penuh ke atas operasi Tamron, merangkumi strategi perniagaan, pembangunan produk dan hala tuju syarikat pada masa hadapan.