Close

Samsung jangka krisis bekalan cip memori berlarutan sehingga 2028

Samsung Electronics menjangkakan krisis bekalan cip global akan terus berlanjutan sehingga 2028 yang didorong oleh permintaan tinggi terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI) yang terus meningkat.

Maklumat ini dikongsi melalui laporan kewangan suku kedua 2026, yang mana Samsung telah memeterai kontrak bekalan cip jangka panjang dengan lima pengendali pusat data terbesar dunia, selain sedang memuktamadkan perjanjian dengan lima lagi pelanggan utama.

Melalui perjanjian tersebut, 60 hingga ke 70 peratus kapasiti pengeluaran memori Samsung akan diperuntukkan kepada pengendali pusat data berbanding pengeluar lain. Menurut Naib Presiden Eksekutif perniagaan memori Samsung iaitu Jaejune Kim, hampir semua pelanggan kini meminta kontrak bekalan jangka masa panjang bagi memastikan bekalan cip kekal stabil.

Berikutan dari itu, Samsung menjangkakan krisis bekalan cip global akan terus berlarutan untuk beberapa tahun akan datang. Lebih teruk, masalah ini dijangka akan berterusan sehingga 2030 atau mungkin lebih lama menurut beberapa penganalisis industri.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN