Close

Lebuhraya Utara-Selatan kini menyokong JustGo sepenuhnya – Bayar tol guna nombor plat

Sistem pembayaran tol tanpa palang menggunakan teknologi Automatic Number Plate Recognition (ANPR), JustGo, kini diperluaskan ke seluruh laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), meliputi perjalanan dari Sungai Dua, Pulau Pinang hingga Kempas, Johor.

Perkembangan ini melengkapkan pelaksanaan JustGo di kawasan utara, tengah dan selatan selepas sistem tersebut diperkenalkan secara berperingkat sejak Januari lalu. Berbeza dengan sistem RFID Touch ‘n Go yang memerlukan pengguna melalui lorong RFID, JustGo tidak memerlukan lorong khas. Pengguna boleh melalui mana-mana lorong yang tersedia di plaza tol yang menyokong JustGo.

PLUS turut menyatakan Jambatan Pulau Pinang akan menyokong JustGo tidak lama lagi. Pengumuman berasingan akan dibuat apabila sistem tersebut sudah tersedia untuk digunakan.

Untuk menggunakan JustGo, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi JustGo pada peranti Android atau iPhone, seterusnya daftar akaun dan masukkan nombor pendaftaran kenderaan. Untuk pembayaran, pengguna perlu menyambung atau memautkan kad debit atau kad kredit pada akaun JustGo.

Selain itu, pengguna boleh menambah sehingga 10 kenderaan pada aplikasi JustGo. Dengan sokongan ini, pengguna kini mempunyai lebih banyak pilihan dan tidak lagi perlu menyediakan kad Touch ‘n Go atau peranti RFID khusus untuk membuat bayaran, selagi plaza tol tersebut menyokong JustGo.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN