iQOO turut memperkenalkan tablet permainan baru mereka iaitu iQOO Pad Ultra, tampil dengan spesifikasi yang berkuasa serta menyokong sistem kipas penyejuk terbina.

iQOO Pad Ultra menggunakan skrin AMOLED bersaiz 8.8-inci dengan resolusi 2304 x 1440 dan nisbah 16:10. Skrin peranti ini turut menyokong paparan 165Hz dengan kecerahan puncak sehingga 4500 nits. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Elite Extreme dan cip khas Q4 untuk permainan yang dibangunkan sendiri oleh iQOO.

Dari segi konfigurasi memori, iQOO Pad Ultra hadir dengan RAM sehingga 16GB dan storan dalaman sehingga 1TB. Untuk kamera, tablet ini dilengkapi kamera utama 13MP pada bahagian belakang dan 8MP untuk swafoto yang sesuai panggilan video.

Dimuatkan dengan kapasiti bateri 9020mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W. Tablet ini turut mempunyai kipas penyejuk terbina bagi membantu mengawal suhu ketika bermain permainan dalam tempoh yang lama. Selain itu, tablet ini turut hadir dengan beberapa ciri yang memfokuskan kepada permainan, antaranya seperti lampu RGB pada bahagian belakang, pembesar suara stereo yang diletakkan secara simetri serta dua motor getaran linear X-axis.
Untuk pasaran China, iQOO Pad Ultra dijual pada harga bermula sekitar CNY6499 (RM3953) dan mencapai sehingga CNY8999 (RM5477). Ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu dalam pilihan warna Silver serta Black.