Apple dijangka akan memperkenalkan produk baru iaitu Apple TV 4K, HomePod mini dan sebuah hab pintar pada 13 Oktober ini.
Menurut laporan, Apple bakal memperkenalkan peranti baru dengan kod nama J490 yang didakwa sebagai hab pintar baru yang mungkin dikenali sebagai HomePad. Peranti ini dikatakan bakal menjadi produk penting dalam strategi Apple untuk mengembangkan ekosistem rumah pintarnya.

Pada acara yang sama, Apple dijangka akan turut memperkenalkan Apple TV 4K dan HomePod mini generasi baru.
Untuk HomePod mini, ia dijangka hadir dengan skrin bersaiz 6-inci yang boleh diletakkan di atas meja atau dipasang pada dinding. Peranti ini mempunyai ketebalan yang sama seperti iPhone dan bingkai skrin seperti model iPad generasi terdahulu.

Untuk Apple TV 4K, ia dijangka hadir dengan beberapa penambahbaikan yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Manakala untuk hab pintar, ia mungkin boleh digunakan untuk mengawal peranti pintar lain, membuat panggilan video, memainkan muzik serta menyokong fungsi interkom.
Peranti ini juga dikatakan mempunyai sistem pengecaman suara dan juga wajah. Selain itu, ketiga-tiga produk ini dikatakan akan menyokong versi Siri dengan keupayaan AI baru. Buat masa ini, Apple belum lagi mendedahkan sebarang maklumat mengenai acara dan juga peranti yang akan diumumkan. Seperti biasa, maklumat lebih tepat hanya akan diketahui pada hari pelancarannya kelak, jadi sama-sama kita nantikan.