Close

Qualcomm perkenalkan cip Snapdragon 7 Gen 4 – Tawar prestasi dan AI yang lebih berkuasa

Qualcomm mengumumkan cip kelas pertengahan baru iaitu Snapdragon 7 Gen 4 sebagai pengganti kepada cip semasa iaitu Snapdragon 7 Gen 3. Cip baru ini memfokuskan kepada peningkatan prestasi dan juga kecerdasan buatan (AI).

Menurut Qualcomm, cip Snapdragon 7 Gen 4 menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 27% dan GPU sehingga 30% berbanding generasi sebelumnya. Cip ini menggunakan konfigurasi 8 teras dengan 1x Cortex-A720 dengan 2.8GHz + 3x Cortex-A720 dengan 2.4GHz + 4x Cortex-A520 dengan 1.84GHz.

Cip ini menggunakan GPU Adreno baru yang menjanjikan prestasi grafik yang lebih lancar dan pantas. Turut menyokong teknologi Qualcomm AI Engine untuk memberikan pengalaman permainan yang lebih baik. Selain itu, cip ini merupakan cip pertama dalam siri Snapdragon 7 yang menyokong fungsi Stable Diffusion untuk penjanaan imej.

Bercakap mengenai AI, cip ini menawarkan peningkatan prestasi AI sehingga 67% sekaligus menyokong model bahasa besar secara terus pada peranti. Cip ini turut dilengkapi dengan teknologi Qualcomm® Expanded Personal Area Network (XPAN), teknologi yang sama ditawarkan pada siri Snapdragon 8.

Spesifikasi lain yang turut tersedia pada cip ini adalah seperti Wi-Fi 7 dengan kelajuan 5.8 Gbps, Bluetooh 6.0, UFS 4.0 dan LPDDR5X dengan kelajuan sehingga 4200MHz. Untuk fotografi, ia menyokong sensor sehingga 200MP dengan rakaman 4K HDR 30fps.

HONOR dan vivo dijangka akan menjadi pengeluar terawal akan menggunakan cip ini, peranti tersebut berkemungkinan akan diumumkan pada bulan ini.

ARTIKEL BERKAITAN