Pada acara Meta Connect 2025, Mark Zuckerberg telah memperkenalkan Meta Ray-Ban Display. Merupakan cermin mata pintar yang menyokong paparan secara terbina melalui Head-Up Display (HUD).

Meta bekerjasama dengan EssilorLuxottica dalam menghasilkan rekaan Ray-Ban Display. Kekal dengan rekaan klasik Ray-Ban Wayfarer dengan beberapa sentuhan moden pada beberapa bahagian. Paparan digital dimuatkan pada lensa sebelah kanan dengan resolusi 600×600 dan menyokong paparan 90Hz dan kecerahan puncak 500 nits.

Paparan HUD pada Ray-Ban Display membolehkan pengguna mengakses maklumat tanpa perlu mengeluarkan fon. Paparan tersebut mampu memaparkan pelbagai perkara seperti mesej, arah navigasi, arahan visual dari Meta AI, pratonton imej, mengawal muzik, panggilan video, terjemaham teks dan lain-lain. Menariknya, paparan tersebut hanya muncul bila diperlukan dan tidak menggangu pandangan pada dunia nyata.

Ray-Ban Display dilengkapi dengan kamera 12MP, pembesar suara terbina dan menyokong penarafan IPX4. Dari segi ketahanan bateri, Meta menyatakan ia mampu menawarkan jangka hayat sehingga 6 jam.

Dari segi kawalan, ia menggunakan EMG Meta Neural Band merupakan gelang pintar yang membaca isyarat melalui saraf lengan untuk mengawal fungsi cermin mata pintar dengan menggunakan jari. Antara kawalan yang boleh dilakukan seperti menatal dan juga klik. Kemampuan untuk menulis mesej akan turut ditawarkan namun pada versi kemas kini yang akan datang.

Gelang pintar Meta Neural Band ini dihasilkan dengan bahan Vectran yang tahan lasak dan menyokong penarafan IPX7. Mampu bertahan sehingga 18 jam penggunaan dengan hanya sekali cas sahaja.
Untuk pasaran Eropah, satu set lengkap Meta Ray-Ban Display dan Meta Neural Band dijual pada harga bermula sekitar $799 (RM3353). Ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Sand dan Black, dijual bermula 30 September.