COROS Malaysia membawakan satu lagi pilihan model jam tangan pintar baru iaitu PACE 4. Model ini tampil dengan spesifikasi yang menarik dan rekaan yang ringan sesuai untuk pelbagai sukan serta aktiviti harian.

COROS PACE 4 hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 1.2-inci dengan resolusi 390 x 390 yang dilindungi dengna mineral glass untuk ketahanan yang lebih baik. Peranti ini menggunakan binaan dari fiber reinforced polymer dengan berat sekitar 32 gram dengan tali jenis nylon.

Dari segi rekaan, ia membawakan rekaan yang ergonomik dengan dua tona kemasan. Terdapat ciri yang ditambah baik seperti sokongan mikrofon terbina yang memboleh ia merakam log latihan, arahan suara dan menyimpan voice pins.

Terdapat juga sensor yang digunakan untuk pemantauan suhu badan, denyutan jantung, pulse oximeter dan lain-lain. Turut menyokong pelbagai mod aktiviti seperti berbasikal, larian denai, larian luar, berenang dan sebagainya. Sokongan fungsi latihan turut tersedia yang merangkumi ramalan perlumbaan, virtual pacer, VO2 Max, analisis pemulihan dan lain-lain.

Lebih menarik, PACE 4 turut menyokong kawalan kamera aksi seperti Insta360, DJI dan GoPro serta integrasi aplikasi seperti Nike Run Club, Strava, Relive, adidas Running, Apple Health dan lain-lain. Hadir dengan pelbagai ciri kesihatan dan kecergasan secara terbina seperti pemantauan pola waktu tidur, pengesanan tekanan, penjejakan kadar degupan jantung, SpO2 dan lain-lain
Dari segi ketahanan bateri, ia mampu bertahan sehingga 41 jam dengan mod GPS, 30 jam dengan fungsi Always On Display (AOD) diaktifkan, 14 jam dengan mod GPS penuh. Tidak ketinggalan, ia turut menyokong penarafan 5 ATM sekaligus membolehkan ia digunakan untuk aktiviti air dan menyokong storan dalaman 4GB.

Di Malaysia, COROS PACE 4 dijual pada harga RM1099. Bagi yang berminat, ia boleh didapatkan melalui pengedar rasmi COROS Malaysia bermula hari ini.