LEGO secara rasmi mengumumkan Smart Brick, bongkah LEGO 2×4 pertama yang dimuatkan dengan komputer kecil atau tiny computer di dalamnya.

Pengumuman ini merupakan inovasi terbesar dalam sistem LEGO sejak pengenalan minifigure yang diperkenalkn pada tahun 1978. Smart Brick diumumkan pada acara CES 2026 dengan produk pertama akan dijual pada 1 Mac 2026.

Smart Brick dimuatkan dengan pelbagai teknologi moden termasuk sensor cahaya, sensor gerakan, sensor inersia (untuk kesan pergerakan, condong dan isyarat), mikrofon, NFC serta sokongan Bluetooth. Melalui teknologi ini, Smart Brick boleh berinteraksi antara satu sama lain sekali gus menjadikan set LEGO lebih realistik.

Lebih menarik, apabila berdekatan dengan Smart Tags minifigure dengan ciri NFC boleh menghasilkan bunyi, muzik dan cahaya. Sebagai contoh, set LEGO Start Wars boleh hasilkan bunyi enjin kapal, tembakan blaster atau bunyi lightsaber.

Smart Brick tidak menggunakan bateri AAA, AI atau kamera sebaliknya menggunakan pengecasan tanpa wayar untuk dicas pada pad khas yang mampu bertahan sehingga bertahun-tahun jika tidak digunakan. Set pertama yang akan menggunakan teknologi ini adalah LEGO Star Wars dengan harga jualan bermula sekitar $70 (RM284).