Maybank merancang untuk memperkenalkan aplilkasi perbankan baru yang berpotensi untuk menggantikan MAE.

Perkara tersebut dikongsi oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli, sesi taklimat media ROAR30. Menurut beliau, pengenalan aplikasi perbankan baru adalah sebahagian daripada pelan strategik ROAR30.
Aplikasi semasa iaitu MAE dikatakan cukup baik, namun terdapat beberapa keupayaan yang perlu ditambah. Berikutan itu, aplikasi baru ini bakal menawarkan keupayaan dan peningkatan digital yang lebih baik sekali gus berpotensi menggantikan MAE.
Maybank telahpun mengenal pasti beberapa kelemahan dan ruang untuk penambahbaikan melalui kajian yang telah dilakukan. Selain itu, inisiatif peningkatan digital ini akan memfokuskan kepada pembangunan serantau bukan lagi disesuaikan mengikut pasaran negara.
Untuk perlaksanaan awal, Indonesia akan menjadi negara pertama akan menerima aplikasi baru, diikuti Malaysia dan Singapura. Buat masa ini, tiada butiran lanjut yang dikongsi mengenai aplikasi ini. Kita mungkin boleh menjangkakan maklumat tersebut akan diumumkan pada tahun ini.