Close

Proton e.MAS 7 PHEV kini boleh dibeli dengan harga bermula RM110K

Selepas membuka pra-tempahan pada bulan lalu, e.MAS 7 Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) yang juga kereta hibrid pertama dari Proton kini boleh dibeli secara rasmi di Malaysia.

e.MAS 7 PHEV dibina berasaskan kepada platform Global Modular Architecture (GMA). Menggunakan sistem dwi-kuasa PHEV yang mengutamakan pemanduan elektrik dengan sokongan enjin petrol untuk fleksibiliti jarak jauh.

e.MAS 7 PHEV ditawarkan dengan tiga pilihan varian iaitu Prime, Premium dan juga Premium+. Untuk varian Premium+, ia dilengkapi dengan bateri 29.8kWh yang mampu bergerak sehingga 146 km (WLTP), jarak keseluruhan mencecah sekitar 905 km (WLTP). Menggunakan teknologi bateri LFP Geely Aageis Short Blade yang menyokong pengecasan DC sehingga 60 kW.

Untuk model Prime dan Premium, ia dimuatkan dengan bateri LFP 18.4kWh dari CATL yang mampu bergerak sehingga 83 km (WLTP). jarak keseluruhan mencecah sekitar 850 km (WLTP). Menyokong pengecasan pantas DC 30 kW yang mampu mengecas 30% hingga 80% dalam masa 30 minit.

Untuk trenkuasa, ketiga-tiga varian ini menggunakan enjin 1.5L 4-siliner Dedicated Hybrid Engine (DHE) yang digabungkan dengan motor elektrik yang menghasilkan kuasa 193 kW dan tork 262 Nm. Mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 8 saat dengan kelajuan maksimum 170 km/j.

Harga jualan untuk Proton e.MAS 7 PHEV bermula RM109,800 untuk Prime, RM123,800 untuk Premium dan RM129,800 untuk Premium+. Seriring dengan ketibaannya, Proton menawarkan rebat RM4000 untuk 5000 tempahan terawal.

Dari segi jaminan, ia didatangkan dengan 6 tahun tanpa had perbantuan, jaminan bateri dan komponen elektrik selama 8 tahun atau 160,000 KM jarak perbatuan. Pembeli juga anda turut menerima pakej insurans e.MAS bernilai RM 1,000. Turut ditawarkan bersama langganan internet 2GB sebulan selama 5 tahun bernilai RM 1000 dan juga pengecas rumah 7kW bernilai RM 1500. Secara keseluruhan tawaran ini bernilai RM 7500.

ARTIKEL BERKAITAN