Pelaksanaan dan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) telah dikuat-kuasakan bermula 1 Jun 2026 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Dengan perlaksanaan ini, kanak-kanak di bawah umur 16 tahun tidak lagi dibenarkan untuk mendaftar akaun baru di platform media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram dan Youtube. Perlaksanaan ini mengikut Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), dengan tujuan utama untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak.
Berikutan dari itu, penyedia perkhidmatan media sosial berlesen dikehendaki melaksanakan langkah perlindungan termasuk pengesahan umur pengguna berdasarkan had umur minimum 16 tahun. Pengesahan umur hendaklah dibuat berdasarkan rekod yang dikeluarkan kerajaan atau rekod setara yang dikeluarkan pihak berkuasa kompeten luar negara yang diiktiraf kerajaan Malaysia.
Untuk pengguna sedia ada, proses pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat oleh penyedia platform media sosial dalam tempoh sehingga enam bulan. Pengguna yang dikenal pasti bawah umur 16 tahun diberikan masa selama sebulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka sebelum sebarang sekatan atau penggantungan dikenakan.
Perlaksanaan ini menjadikan Malaysia seiring dengan beberapa negara lain seperti Australia yang turut melaksanakan larangan media sosial untuk golongan muda.