Aplikasi dompet digital iaitu Setel kini menawarkan pelan langganan baru yang dikenali sebagai Setel Savers.

Pelan langganan ini ditawarkan pada harga RM4.90 untuk sebulan, melaluinya pengguna dapat menikmati mata ganjaran tambahan, pulangan tunai eksklusif dan lain-lain.

Antara kelebihan utama yang ditawarkan seperti 2 kali ganda mata ganjaran Mesra untuk transaksi terpilih seperti pembayaran parkir, insurans motosikal, cukai jalan, bantuan automotif, pembayaran bil, pembayaran QR Setel, pembelian di Cafe Mesra, PETRONAS Shop dan pengecasan EV.

Untuk pulangan tunai, pelanggan Setel Savers layak menerima pulangan tunai RM25 untuk servis kenderaan dan insuran motorsikal, sementara RM10 untuk penukaran bateri kenderaan. Menurut Setel, langganan ini direka untuk membantu pengguna memperoleh lebih banyak nilai daripada transaksi harian yang dilakukan melalui aplikasi tersebut.

Bagi yang berminat, pelan ini boleh terus dilanggan melalui aplikasi Setel. Seiring dengan ketibaanya, Setel menawarkan pelan ini secara percuma selama dua bulan untuk pelanggan pertama yang melanggan dalam tempoh promosi yang ditetapkan.