Kamera gimbal kompak dari Insta360 iaitu Luna Ultra akhirnya diperkenalkan dan telahpun tiba untuk pasaran tempatan. Luna Ultra bakal menjadi pesaing secara terus kepada kamera gimbal kompak dari DJI iaitu Osmo Pocket.

Luna Ultra dimuatkan dengan tetapan dwi-kamera dari Leica dengan sensor utama 1-inci yang mampu merakam video sehingga 8K resolusi pada 30 fps. Kamera kedua merupakan kamera telofoto dengan sensor sebesar 1/1.3-inci yang menawrakan kemampuan 6x zum lossless dan 12x zum.

Untuk fotografi, ia menyokong sehingga 37MP UltraPhotos serta panorama dengan resolusi 200MP. Dari segi rakaman video, Luna Ultra menyokong rakaman 10-bit I-Log, Dolby Vision dan juga menawarkan sehingga 14-stop dynamic range untuk mengekalkan perincian imej dalam pelbagai keadaan.

Luna Ultra dikuasakan dengan Triple AI Chip yang membolehkan pelbagai fungsi pintar seperti mod PureVideo dan Deep Track 5.0 untuk memberikan pengalaman rakaman video yang lebih baik. Salah satu perkara menarik mengenai Luna Ultra adalah ia menggunakan skrin sentuh OLED 2-inci yang boleh ditanggalkan daripada badan kamera. Skrin tersebut boleh digunakan sebagai monitor dan alat kawalan jauh dengan jarak penghantaran video HD sehingga 20 meter.

Peranti ini dimuatkan dengan bateri sebesar 1550mAh yang mampu bertahan sehingga empat jam penggunaan. Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas yang mampu mengecas dari 0% ke 80% dalam masa sekitar 23 minit.
Untuk storan, Luna Ultra dimuatkan dengan storan 47GB yang menyokong slot mikrosSD sehingga 1TB. Insta360 turut menawarkan pelbagai aksesori tambahan seperti penapis ND, Black Mist, lensa sudut lebar dan POV Head Tracker.

Di Malaysia, Insta360 Luna Ultra dijual pada harga RM2999 dan boleh didapatkan di Shopee. Lazada atau pengedar rasmi Insta360. Peranti ini ditawarkan dalam pilihan warna Cosmic Black dan Stellar White.