Meta secara rasmi mengumumkan Facebook Verified, iaitu lencana pengesahan baru yang diberikan secara percuma kepada pengguna untuk mengesahkan pemilik akaun tersebut adalah manusia atau individu sebenar.
Berbeza dengan perkhidmatan langganan Meta Verified, Facebook Verified tidak memerlukan sebarang bayaran. Untuk mendapatkan lencana ini, pengguna hanya perlu melakukan proses pengesahan identiti menggunakan video swafoto (selfie).

Melaluinya, pengguna akan diminta untuk merakam video swafoto seterusnya akan dibandingkan dengan gambar profil sedia ada pada akaun. Menurut Meta, keseluruhan proses ini hanya mengambil masa beberapa minit sahaja.
Buat masa ini, Facebook Verified hanya tersedia kepada pengguna yang berumur 18 tahun ke atas. Fungsi ini tidak tersedia untuk Facebook Pages atau akaun Professional Mode (ProMode). Selain itu, fungsi ini telahpun dilepaskan secara berperingkat dan buat masa ini hanya ditawarkan di pasaran terpilih sebelum diperluaskan ke lebih banyak negara dalam masa terdekat.