Qualcomm dikatakan sedang mempertimbangkan untuk menggunakan dua pengeluar dalam menghasilkan cip andalan mereka iaitu Snapdragon 8 Elite Gen 6.
Menurut laporan, Qualcomm sedang berbincang dengan Samsung untuk menghasilkan sebahagian cip Snapdragon 8 Elitt Gen 6. Sebelum ini, beberapa laporan menyatakan cip tersebut akan dihasilkan sepenuhnya oleh TSMC.

Namun, laporan terbaru dari Korea mendedahkan Qualcomm sedang mempertimbangkan untuk menggunakan sistem dual-source, dengan pengeluarannya akan dikongsi antara TSMC dan Samsung Foundry. Antara sebab Qualcomm dikatakan kembali mempertimbangkan Samsung ialah peningkatan kadar hasil pengeluaran atau yield teknologi 2nm milik Samsung..
Selain itu, kapasiti pengeluaran 2nm dari TSMC yang terhad turut mendorong kepada idea sistem dual-source. Berikutan itu, Samsung mungkin digunakan sebagai sumber kedua, bukannya menggantikan TSMC sepenuhnya.
Buat masa ini, Qualcomm dan Samsung masih lagi di fasa perbincangan dengan beberapa perkara sedang diteliti seperti spesifikasi, harga serta kadar pengeluaran. Dengan menggunakan dua pengeluar, ia membolehkan Qualcomm mendapatkan bekalan cip yang lebih stabil dalam masa yang sama mengurangkan kebergantungan kepada TSMC.