Close

Setel perkenal ciri ‘Voice Fuelling’ – Isi minyak guna suara

Aplikasi Setel kini hadir dengan ciri baru yang dipanggil sebagai Voice Fuelling, membolehkan pengguna mengaktifkan pam minyak di Petronas dengan hanya melalui arahan suara.

Ciri ini menyokong empat pilihan bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Mandarin, Tamil dan juga Inggeris. Dengan sokongan bahasa yang pelbagai ia menjadikan ciri ini sesuai untuk semua lapisan pengguna di Malaysia. Melalui ciri ini, pengguna hanya perlu menyebut nombor dan pembayaran, seterusnya proses akan dijalankan secara automatik mengikut kepada arahan suara.

Selain itu, ciri ini turut boleh digunakan untuk semua gred minyak Petronas seperti Primax 95, Primax 97, Dynamic Diesel Euro 5, BUDI95 dan juga diesesl bersubsidi. Secara ringkas, ciri ini adalah penambahbaikan pada One-tap Fuelling sedia ada dengan sokongan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan mesra pengguna.

Ciri ini akan dilepaskan melalui kemas kini terbaru iaitu untuk aplikasi Setel dengan nombor binaan 1.211.0 yang akan tersedia untuk pengguna pada 9 Oktober 2026.

ARTIKEL BERKAITAN