Close

GoPro Hero 12 Black dilancarkan – Sokong audio dari AirPods dan ketahanan bateri yang lebih baik

GoPro secara rasmi melancarkan kamera aksi baharu mereka iaitu GoPro Hero 12 Black. Hadir dengan sejumlah peningkatan spesifikasi dan juga pengalaman penggunaan yang lebih baik dari model sebelumnya.

Masih lagi menggunakan rekaan yang sama seperti model sebelumnya. Dilengkapi dengan skrin LCD sesentuh bersaiz 2.27-inci pada bahagian belakang dan skrin LCD 1.4-inci pada bahagian depan. Ia juga menyokong ketahanan kalis air sehingga 10 meter tanpa memerlukan sebarang pelindung khas.

Dari segi kemampuan kamera, ia kini menyokong rakaman video dan imej HDR dengan resolusi 5.3K 60fps dan 4K 60fps. Turut hadir dengan pengekodan baharu iaitu GP-Log 10 bit yang mampu menghasilkan julat dinamik yang lebih baik. Sekaligus, memberikan lebih banyak kepelbagaian dalam proses suntingan.

Selain itu, Hero 12 Black ini turut hadir dengan Max Lens Mod 2.0 yang menyokong rakaman dengan sudut pandangan sehingga 177 darjah untuk 4K 60fps. Max Lens Mod 2.0 juga menawarkan sudut pandangan 36% lebih luas untuk video melintang dan 48% lebih tinggi untuk video menegak.

Dari segi ketahanan, Max Lens Mod 2.0 adalah dua kali ganda lebih tahan calar dan dilindungi dengan lapisan hidrofobik yang turut menyokong GoPro Hero generasi lama seperti Hero 9, 10 dan 11.

Perkara menarik mengenai Hero 12 Black adalah ia kini menyokong audio secara terus daripada mikrofon Bluetooth seperti AirPods atau TWS lain. GoPro turut menyatakan yang Hero 12 Black kini menyokong jangka hayat bateri dua kali ganda lebih baik berbanding model sebelumnya.

Untuk harga jualan, GoPro Hero 12 Black dijual pada harga jualan bermula RM1999. Bagi yang berminat, pra-tempahan akan dibuka bermula 9 September ini.

ARTIKEL BERKAITAN