Xiaomi secara rasmi memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pertama mereka iaitu SU7 untuk pasaran China. Hadir dengan 3 pilihan varian iaitu SU7, SU7 Pro dan juga SU7 Max.
Xiaomi SU7 dilengkapi dengan motor tunggal yang mampu menghasilkan kuasa 294 hp dan 400 Nm. Boleh memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam 5.28 saat dengan kelajuan maksimum pada 210 km/j. Dimuatkan dengan bateri 73.6 kWh yang mampu bergerak sehingga 700 km (CLTC).
Manakala untuk Xiaomi SU7 Pro, ia hadir dengan spesifikasi yang hampir sama seperti SU7 namun dibezakan dengan kapasiti bateri iaitu 94.3 kWh dengan jarak gerak yang lebih jauh iaitu 838 km (CLTC).
Akhir sekali adalah model paling premium iaitu Xiaomi SU7 Max. Dilengkapi dengan dwi-motor yang mampu menghasilkan kuasa 663 hp dan 838 Nm. Boleh memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam masa 2.78 saat dengan kelajuan maksimum pada 265 km/j. Bateri 101 kWh dimuatkan dengan jarak gerak sehingga 800 km (CLTC).
Selain itu, EV pertama dari Xiaomi ini turut dilengkapi dengan dua jenis sistem swapandu ADAS iaitu Xiaomi Pilot Pro dan Xiaomi Pilot Pro Max. Kedua-dua sistem swapandu ini dijana melalui cip Nvidia Drive Orin 84 tops dan 508 tops.
Di China, SU7 dijual pada harga sekitar 215,900 Yuan (RM141K), SU7 Pro pada harga sekitar 245,900 Yuan (RM161K) dan model paling premium iaitu SU7 Max pula dijual pada harga sekitar 299,900 Yuan (RM197K).
Xiaomi SU7 mencatatkan rekod tersendiri apabila mendapat 50,000 tempahan hanya dalam masa 27 minit sahaja. Penghantaran pertama Xiaomi SU7 ini dijangka akan bermula April ini untuk model standard sementara untuk model Pro akan bermula pada penghujung Mei ini. Buat masa ini, SU7 hanya ditawarkan untuk pasaran China sahaja.