Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telahpun mengadakan pertemuan dengan delegasi Tesla yang diadakan di Menara MITI.
Pertemuan tersebut memfokuskan kepada kemajuan dan pelaksanaan Skim AP Peneraju Global Battery Electric Vehicle (BEV). Setakat ini, Tesla telahpun mempunyai 52 unit pengecas Supecharger 250kW, 54 unit pengecas Wall Connector AC dan lebih 4500 unit pengecas rumah di Semenanjung Malaysia.
Selain itu, Tengku Zafrul menyatakan yang Tesla telahpun melabur RM59 juta di Malaysia. Dengan pelaburan tersebut, ia menunjukkan Tesla komited dalam membangunkan dan mengukuhkan infrastruktur pengecasan EV di Malaysia.
Pertemuan tersebut turut membincangkan mengenai potensi besar teknologi penyimpanan tenaga bateri yang dijangka dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan tenaga dan kestabilan grid elektrik Malaysia.
Dalam pada itu, Tesla juga menyokong ekosistem tempatan yang melibatkan 9 syarikat Malaysia dalam pembangunan infrastruktur pengecasan EV serta kerjasama dengan universiti tempatan. Melalui kerjasama ini, ia dijangka akan dapat memacu Malaysia sebagai hab utama teknologi hijau di rantau ini.