Kamera aksi baru dari Insta360 iaitu X5 kini tiba secara rasmi ke pasaran tempatan. Tampil dengan pelbagai peningkatan menarik seperti sensor kamera yang lebih baik, ketahanan bateri yang lebih panjang dan lensa yang kini boleh ditukar.

Insta360 X5 hadir dengan sensor yang lebih besar iaitu 1/1.28″ berbanding 1/2” yang digunakan pada X3 dan X4. Dengan sensor yang lebih besar ia menjanjikan kualiti video yang lebih baik dalam pelbagai keadaan. Peranti ini dimuatkan dengan sistem Triple AI Chip yang mengabungkan 1x cip AI 5nm + 2x cip Pro Imaging.

Gabungan cip tersebut menawarkan peningkatan prestasi kamera sekitar 140% yang membantu mengurangkan hingar dan menghasilkan imej yang lebih jelas. Kamera ini turut menyokong mod PureVideo yang menggunakan AI untuk memberikan hasil rakaman video yang terang dan jelas biarpun dalam keadaan kurang cahaya.

Untuk video, ia menyokong rakaman dengan resolusi 8K pada 30fps, 5.7K hingga 60fps dan 4K hingga 120fps. Peranti ini turut dilengkapi dengan mod InstaFrame yang menghasilkan dua video secara serentak, satu video datar yang sedia untuk dikongsi dan satu video 360° yang boleh disunting kemudian.

Insta360 X5 turut menyokong penarafan IP68 yang mampu bertahan pada kedalaman 15 meter tanpa sebarang aksesori dan meggunakan lensa kamera yang lebih tahan lasak yang boleh ditukar. Tidak ketinggalan, peranti turut menyokong Wind Guard baru yang mampu mengurangkan bunyi angin.

Dimuatkan dengan bateri 2400mAh yang mampu bertahan sehingga 187 minit untuk rakaman video pada resolusi 5.7K 24fps. Menyokong pengecasan 30W yang mampu mengecas 80% bateri hanya dalam 20 minit sahaja.
Di Malaysia, Insta360 X5 dijual pada harga bermula RM2499 untuk Basic Kit I dan mencecah sehingga RM2919 untuk Adventure Kit. Bagi yang berminat, peranti ini boleh didapati di semua pengedar rasmi Insta360 Malaysia.